MOHD Ariff  bersama anaknya, Qaseh Aisya Humaira, 6,  Hasnah dan isterinya menghabiskan masa terluang di ladang labunya di Kampung Beris To Ku, Setiu.
MOHD Ariff bersama anaknya, Qaseh Aisya Humaira, 6, Hasnah dan isterinya menghabiskan masa terluang di ladang labunya di Kampung Beris To Ku, Setiu.
Baharom Bakar


PERMAISURI: Tidak rugi berbudi pada tanah kerana hasilnya lumayan. Berikutan itu sekeluarga di Kampung Beris To Ku, Setiu di sini nekad menanam labu manis sehingga memperoleh untung besar setiap kali musim.

Kata Mohd Ariff Ab Razak, 33, keuntungan diperoleh RM30,000 semusim hasil tuaian labu itu yang sudah diusahakannya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, projek tanaman itu bermula sebaik mendaftar sebagai peserta ladang kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Dia sebelum itu kerap membantu ibu mentuanya, Hasnah Ngah, 58, yang menanam tembikai.

“Saya penjawat awam dan bertugas di Jertih, jadi masa terluang banyak gunakan untuk bantu mak mentua mengusahakan tembikainya.

“Daripada situ, minat terhadap bidang pertanian timbul dan saya mula beri perhatian apabila dia kerap menjadi mangsa penipuan orang tengah ketika proses jual beli tembikai.

“Memandangkan tanah kosong selepas tembikai dituai, saya cuba tanam labu manis walaupun pada awalnya dibantah ibu mentuanya dengan alasan buah itu sukar untuk dipasarkan,” katanya ketika ditemui di ladangnya di sini, semalam.

Mohd Ariff berkata, selepas berbincang dan mendapatkan pandangan serta nasihat pegawai Fama, mereka memberanikan diri mengusahakan tanaman labu secara bergilir dengan tanaman tembikai.

“Alhamdulillah, pengeluaran labu manis di atas tanah seluas 1.6 hektar boleh cecah 20 tan metrik semusim yang membabitkan 75 hari,” katanya yang turut dibantu isteri, Nor Farhana Mamat, 33.

Katanya, tanaman labu mudah dijaga dan tidak memerlukan air banyak seperti tembikai selain rendah risiko diserang haiwan perosak.

“Selepas labu mencapai usia 30 hari dan mula menjalar, tanaman itu tidak lagi memerlukan penjagaan rapi dan dalam tempoh semusim, hanya tiga atau empat kali saja perlu siram air.

“Manakala baja digunakan ialah baja asas seperti tahi ayam, baja pokok serta baja dibekalkan Jabatan Pertanian negeri,” katanya yang memberitahu labu dijual tidak menentu dan ia biasanya dibeli Fama, antara RM1.50 sekilogram dan boleh mencecah sehingga RM3.50 sekilogram terutama pada Oktober hingga Disember.

Sementara itu, Pengarah Fama negeri Fauzi Mohamed berkata, pihaknya memerlukan 3,600 metrik tan labu manis setahun untuk memenuhi permintaan terutama penduduk di negeri pantai barat.

Katanya, FAMA hanya mampu membekalkan antara 90 hingga 1,200 metrik tan labu manis setahun, termasuk 350 metrik tan dibekalkan oleh 70 usahawan ladang kontrak terutama pengusaha dari Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 5:30 AM