FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangka permintaan tembikai di Terengganu dan Kelantan yang meningkat Ramadan ini dapat dipenuhi memandangkan ia bertepatan dengan tempoh penuaian buah itu.

Timbalan Pengarah FAMA Terengganu, Mohd Azrul Abd Aziz berkata, sehingga hari ini pihaknya membeli 702 metrik tan tembikai dan labu manis bernilai RM631,000.

Beliau berkata, pembelian itu dibuat menerusi 115 Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) bersama komuniti yang menanam buah-buahan berkenaan yang membabitkan tanah seluas 1,000 hektar di seluruh negeri.

“Cuaca baik dan bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu kita lihat pengeluaran hasil tembikai kali ini memberangsangkan berbanding sebelumnya,” katanya ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak MOA bersama 96 peserta di Gong Tengah, Beris Tokku, Bandar Permaisuri hari ini.

Beliau berkata, Terengganu mempunyai tiga daerah utama yang menjadi pusat pengeluaran hasil tembikai iaitu Setiu, Besut serta Marang.

Menurutnya, harga tembikai yang dibeli oleh FAMA adalah mengikut harga lantai tembikai di paras 80 sen sekilogram bagi memastikan kestabilan harga serta mengelak manipulasi orang tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 3:39 PM