BADRUDDIN melancarkan Fiesta Mangga Malaysia dengan mengetuk ais yang berisi jus mangga.
BADRUDDIN melancarkan Fiesta Mangga Malaysia dengan mengetuk ais yang berisi jus mangga.
HIDANGAN ‘scrumbled mangga’.
HIDANGAN ‘scrumbled mangga’.
CHEF Asma menyiapkan minuman jus mangga lassi.
CHEF Asma menyiapkan minuman jus mangga lassi.
ORANG ramai membeli mangga sala sempena Fiesta Mangga Malaysia.
ORANG ramai membeli mangga sala sempena Fiesta Mangga Malaysia.
Oleh Mohamad Hussin

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menggalakkan generasi muda berkecimpung dalam bidang pertanian terutama tanaman buah-buahan kerana ia mendatangkan hasil lumayan.

Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, pembabitan golongan muda dalam bidang pertanian amat sedikit berbanding industri lain kerana mereka tidak mahu bekerja dalam cuaca panas dan hujan.

“Banyak peluang pertanian yang dapat mendatangkan hasil lumayan jika mereka mendapat bimbingan dan dilakukan secara sistematik.

“FAMA banyak menyediakan platform untuk membantu golongan muda berkecimpung dalam bidang pertanian khususnya tanaman buah-buahan,” katanya selepas melancarkan program ‘Fiesta Mangga Malaysia’ di sebuah pasar raya besar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, mereka perlu menitikberatkan kualiti buah untuk membolehkan hasil tanaman mereka dikomersialkan secara meluas di pasaran tempatan dan luar negara.

“Buah-buahan tempatan yang bermutu tinggi mudah mendapat tempat untuk dipromosi dan dijual termasuk di pasar raya.

“Untuk mendapatkan pulangan lumayan, mereka (petani) kena jaga buah mereka elok-elok. Apabila FAMA beli buah dan letak di pasar raya, orang lihat akan ada tarikan sebab buahnya cantik dan segar,” katanya.

Badruddin berkata, FAMA menyediakan khidmat nasihat kepada petani teknik penjagaan yang bersesuaian terhadap buah-buahan bagi memantapkan kualiti.

“Buah bermusim dibekalkan ke seluruh negara bermula Julai atau Ogos namun pengguna boleh mendapatkan mangga terus dari ladang di 521 gerai jualan atau 580 pasar tani dan pasar raya di seluruh negara.

“Berikutan buah bermusim ini dijangka dituai pada bulan puasa, FAMA bakal menjalankan promosi penurunan harga bagi menggalakkan pembelian buahan tempatan terutama tembikai.

“Tembikai, tebu dan kelapa muda paling laris dijual sempena bulan puasa,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan buah-buahan bermusim yang dibekalkan pada tahun ini ialah 10,000 tan metrik.

“Program anjuran FAMA dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memilih rangkaian pasar raya GCH Retail kerana ia platform paling banyak menyalurkan keuntungan hasil tani.

“Ini tahun kelima kami berkolaborasi dengan Giant untuk mempromosikan buah mangga dan kami lebihkan variasi buah dan tidak hanya kepada mangga,” katanya.

Beliau berkata, FAMA membekalkan buah terus dari ladang dan pada masa sama memastikan pembekal menyediakan bungkusan mengikut gred supaya pengguna lebih bijak membuat pilihan.

“Bagi mengekalkan kualiti buah itu, kami menggalakkan petani menyediakan bungkusan mengikut spesifikasi yang ditetapkan sebagai contoh buah dimasukkan ke bakul plastik dan bukan bakul buluh,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, mangga bernilai RM5.25 juta dieksport tahun lalu berbanding nilai import mangga berjumlah RM47.5 juta.

“Nilai eksport itu lebih rendah kerana pengeluaran mangga tempatan tidak mencukupi untuk dieksport. Situasi ini, membuka peluang kepada mereka yang berminat termasuk golongan muda untuk menceburi sektor itu.

“Antara objektif ‘Fiesta Mangga Malaysia’ ialah meningkatkan permintaan terhadap mangga dan memperluas pasaran khususnya di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 10:16 AM