Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Muhamad Fadlee Hassan, (Kiri) bersama Shahril Amzar Yaacob, 32, (Kanan) melihat buah tembikai yang akan dipungut. FOTO NAZDY HARUN
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Muhamad Fadlee Hassan, (Kiri) bersama Shahril Amzar Yaacob, 32, (Kanan) melihat buah tembikai yang akan dipungut. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun

Marang: Buah yang berkualiti selain kemeriahan sambutan Ramadan mendorong peningkatan permintaan tembikai, sekali gus memberi pulangan lumayan melebihi RM60,000 kepada petani, musim ini.

Roslan Abdullah, 65, yang mengusahakan tanaman tembikai di Kampung Serating sejak tiga tahun lalu berkata, kebunnya seluas 2.2 hektar mengeluarkan hasil kira-kira 70 tan metrik buah.

Katanya, hasil tuaian pada Ramadan itu juga laris hingga dia mampu meraih antara RM60,000 hingga RM70,000 bagi tanaman semusim.

"Permintaan sememangnya tidak mencukupi pada bulan Ramadan, namun di kawasan ini ramai petani yang mengusahakan tanaman tembikai dan pasarannya juga amat luas setiap tahun.

"Kalau tidak jual kepada pemborong luar, kami di sini jual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang mempunyai rangkaian pemasaran lebih meluas," katanya.

Rakannya, Shahril Amzar Yaacob, 32, yang mengusahakan kebun 4.4 hektar mengakui Ramadan bulan rezeki buatnya disebabkan permintaan tinggi tembikai.

"Di kebun saya mampu tuai antara 60 hingga 70 tan metrik dan buah dijual mengikut gred A atau B," katanya yang biasanya memperoleh hasil jualan RM60,000 hingga RM80,000 semusim.

Sementara itu, Pengarah Fama Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, empat peserta ladang kontrak di kawasan Serating bersetuju untuk memasarkan hasil mereka melalui Fama.

"Kita jangkakan nilai pasaran iaitu RM300,000 dengan jumlah tembikai 200 tan metrik yang akan dipungut di kawasan berkenaan.

"Selain kawasan Serating, Marang, kita juga mempunyai projek ladang kontrak di Rhu Sepuluh, Setiu dan Kampung Nyatoh, Besut dengan penglibatan 15 peserta," katanya yang terdahulu menghadiri Program Perjanjian Jual Beli dan Majlis Dialog Bersama Peserta Ladang Kontrak Daerah Marang di Kawasan Serating, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 3:37 PM