Baharom Bakar


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memerlukan 3,600 metrik tan labu manis setahun untuk memenuhi permintaan terutama penduduk di negeri pantai barat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Zainal Abidin Yang Razalli, berkata FAMA hanya mampu membekalkan antara 90 hingga 1,200 metrik tan labu manis setahun, termasuk dibekalkan 70 usahawan ladang kontrak termasuk pengusaha dari Terengganu.

Beliau berkata, FAMA menyasarkan untuk melahirkan 100 usahawan tani tahun ini untuk penanaman labu manis bagi mengelakkan kerajaan mengimport labu manis dari luar negara.

“Setakat ini, FAMA hanya mampu membekalkan antara 90 hingga 100 metrik tan labu manis sebulan atau kira-kira 1,200 tan metrik setahun.

“Kita memerlukan kira-kira 3,600 metrik tan setahun bagi memenuhi permintaan penduduk termasuk daripada peniaga di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Agrobazzar dan pelancaran Karnival Industri Asas Tani (IAT) peringkat negeri Terengganu di Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed.

Mengulas insentif untuk menggalakkan usahawan tani mengusahakan tanaman labu manis, Zainal Abidin berkata, pengusaha buah-buahan tempatan yang mendapat persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) akan menerima bayaran insentif sebanyak 10 sen sekilogram.

Beliau berkata, harga pasaran labu manis adalah RM1.50 sen sekilogram tahun ini, berbanding hanya 90 sen sekilogram tahun lalu.

Mengenai Agrobazzar rakyat, Zainal Abidin berkata, FAMA sudah membuka tiga Agrobazzar di seluruh negara termasuk dua di Terengganu dan satu di Perlis.

Katanya, Agrobazzar ditubuhkan untuk membantu kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup dihadapi rakyat di seluruh negara.

“Harga pelbagai produk termasuk dibekalkan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan dijual dengan harga lebih murah jika dibandingkan di beberapa pasar raya dan pasar besar.

“Produk yang dijual di Agrobazzar sudah melepasi tahap piawaian seperti ditetapkan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 10:28 PM
ZAINAL Abidin (tengah) mengagihkan saguhati kepada pelanggan di Majlis Perasmian Agrobazaar Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan.
ZAINAL Abidin (tengah) mengagihkan saguhati kepada pelanggan di Majlis Perasmian Agrobazaar Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Imran Makhzan.