MUHAMAD Hazani menunjukkan labu mas di TKPM, Titi Gantong, Bota.
MUHAMAD Hazani menunjukkan labu mas di TKPM, Titi Gantong, Bota.
LABU yang dibersihkan dengan kain lembap dibungkus sebelum dihantar kepada pelanggan.
LABU yang dibersihkan dengan kain lembap dibungkus sebelum dihantar kepada pelanggan.
 PEKERJA melakukan kerja pengurusan tanaman bagi mengelak batas dipenuhi rumput.
PEKERJA melakukan kerja pengurusan tanaman bagi mengelak batas dipenuhi rumput.
 LABU yang dikutip kemudian dilap dengan kain lembap bagi menghilangkan kotoran.
LABU yang dikutip kemudian dilap dengan kain lembap bagi menghilangkan kotoran.
BANTUAN pendebungaan dilakukan
BANTUAN pendebungaan dilakukan
PUCUK labu juga boleh dijadikan ulam atau dimasak lemak.
PUCUK labu juga boleh dijadikan ulam atau dimasak lemak.
MUHAMAD Hazani memetik pucuk labu yang sesuai dijadikan ulam.
MUHAMAD Hazani memetik pucuk labu yang sesuai dijadikan ulam.
Noor Hidayah Tanzizi

Labu sejenis tanaman menjalar daripada keluarga Cucurbitaceae yang sering ditanam secara selingan dengan jagung atau tembikai.

Ia antara tanaman yang paling mudah ditanam tanpa memerlukan penjagaan rapi, sekali gus sesuai sebagai ‘peringkat percubaan’ bagi mereka yang baru menceburi bidang pertanian.

Menyedari faktor itu, Muhamad Hazani Aziz, 34, menjadikan tanaman labu sebagai salah satu komponen utama ladangnya yang keseluruhan berkeluasan 9.1 hektar.

“Tanah seluas 1.2 hektar diperuntukkan untuk tanaman labu. Selain itu saya menanam jagung, cabai, pisang dan nanas,” katanya ketika ditemui di ladangnya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Titi Gantong, Bota, Perak.

Menurut anak jati Kampung Sungai Jejawi, Seberang Perak, labu mengeluarkan hasil setiap dua musim dalam setahun dan semusim mampu mengeluarkan hasil enam hingga tujuh tan bagi tanah berkeluasan 0.4 hektar.

“Harga labu tidak menentu kerana ia mengikut keadaan dan bekalan. Harga biasa selalunya RM1 ke atas untuk sekilogram dan pernah mencecah RM3.50 manakala pasaran pula di serata negeri,” katanya.

Katanya, labu mengambil masa 75 hari dengan tempoh mula berbunga pada hari ke-45 dan ia lebih mudah jika ditanam di kawasan berhampiran ternakan kelulut kerana tidak memerlukan bantuan pendebungaan.

“Proses penjagaan tanaman sangat mudah dan tidak memerlukan air yang banyak. Semusim hanya tiga atau empat kali disiram air manakala baja digunakan adalah baja asas najis ayam, daun dan buah secara berperingkat.

“Penjagaan juga tidak lama apabila mencapai usia 30 hari dan mula menjalar pokok sudah tidak memerlukan penjagaan rapi.

“Bagi mendapatkan hasil yang baik pokok ditanam pada jarak dua meter dan sepokok boleh mengeluarkan enam hingga tujuh biji labu,” katanya yang menanam 700 pokok untuk 0.4 hektar tanah.

Muhamad Hazani berkata, labu mempunyai pelbagai jenis dengan bentuk panjang atau bulat dan dia menanam jenis mas yang mempunyai kelebihan tersendiri.

“Keistimewaan labu mas ini isinya lebih manis, serat lebih halus berbanding jenis lain. Buah yang dihasilkan mempunyai berat sekata dan bentuk bulat yang cantik. Malah, jenis ini juga mampu mengeluarkan lebih banyak hasil dan pokoknya tahan lasak.

“Labu jenis ini juga sesuai dijadikan pelbagai jenis masakan terutama kuih lepat labu kerana isinya yang manis dan serat halus,” katanya.

Menurutnya, labu tidak memerlukan modal besar seperti sesetengah tanaman lain, malah risiko serta musuh tanaman juga kurang, namun mampu memberikan pulangan lumayan mencecah ribuan ringgit.

“Bagi mereka yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini atau yang bermodal kecil, labu adalah tanaman sesuai. Namun, apa yang penting adalah semangat, usaha dan minat harus ada untuk bergelut dalam bidang ini,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu sebelum ini pernah be\kerja sebagai mekanik dan pekerja kontrak di Shah Alam, Selangor. Namun, dia hanya bertahan sebulan dan kemudian nekad kembali ke kampung membantu menguruskan sawah padi bapanya sebelum beralih kepada tanaman sayur yang lebih luas pasarannya.

“Syukur kepada Allah, berbekalkan usaha dan sokongan keluarga selain bantuan Jabatan Pertanian saya mampu membuktikan petani bukan lagi kerjaya ‘orang kampung’ dan mampu memberikan masa depan yang cerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 1:36 PM