KEBAKARAN sebuah rumah di Jalan Kampung Benggali membongkar kegiatan penyeludupan barang terlarang dipercayai dilakukan pemilik rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN sebuah rumah di Jalan Kampung Benggali membongkar kegiatan penyeludupan barang terlarang dipercayai dilakukan pemilik rumah berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


KEBAKARAN sebuah rumah di Jalan Kampung Benggali, di sini semalam membongkar kegiatan penyeludupan barang terlarang dipercayai dilakukan pemilik rumah berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, kebakaran membabitkan kawasan belakang rumah dan stor tempat penyimpanan barangan seludup dipercayai rokok, arak dan mercun.

Susulan kejadian itu polis dikatakan menahan pemilik rumah terbabit bagi membantu siasatan selain membuat rampasan beberapa barangan dipercayai disimpan secara haram di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat yang mengesahkan penahanan itu berkata, tangkapan dibuat petang, semalam sejurus selepas kebakaran itu berjaya dipadam pasukan bomba.

“Setakat ini, rampasan hanya membabitkan beberapa botol arak dan rokok sahaja yang ditemui di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kebakaran itu mungkin disebabkan mercun yang disimpan dalam stor berkenaan, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan rasmi punca kebakaran daripada pihak bomba.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu 3.40 petang semalam.

“Kebakaran membabitkan bahagian belakang sebuah rumah yang terbakar 20 peratus dan sebuah stor tempat penyimpanan barang yang musnah terbakar 70 peratus.

“Tiada mangsa terbabit dalam kebakaran itu dan operasi pemadaman diketuai Komander Operasi, Rafeel Hairul Richard itu tamat 7.25 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 4:34 PM