Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Sebanyak 16 kenderaan termasuk dua jentera angkat susun (forklift) musnah dalam kebakaran sederet sembilan bengkel dan stor di Kawasan Perindustrian Padang Lalang, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira 4.40 pagi itu adalah terburuk pernah berlaku di kawasan berkenaan, selepas lapan bengkel di kawasan sama turut musnah dalam kebakaran, dua minggu lalu.

Pengurus Besar Getra Sdn Bhd, Azlindawatty Muhamed berkata, hampir keseluruhan dua stor menyimpan pelbagai peralatan termasuk kabel Telekom Malaysia (TM) Berhad dan beberapa unit enjin kuasa elektrik milik syarikat itu musnah dalam kebakaran.

Menurutnya, turut terbakar ialah sebuah forklift dan motosikal yang digunakan untuk memindahkan pelbagai peralatan.

Katanya, pihaknya mula menyewa dua unit stor itu pada tahun lalu yang terletak berhadapan dengan pejabat urusan syarikat.

"Saya dimaklumkan mengenai kebakaran itu kira-kira 5 pagi sebelum segera datang bersama beberapa kakitangan. Ketika itu, api sedang marak dan usaha memadam api dilakukan anggota bomba.

"Kerugian dianggarkan lebih RM1 juta dan kebakaran berkenaan akan menjejaskan operasi pemasangan kabel TM berkuasa tinggi di beberapa kawasan di Pahang Timur," katanya yang juga kontraktor TM.

Pemilik bengkel membaiki kereta, Lee Meng Choy, 32, berkata sebanyak 16 kereta pelbagai jenis miliknya termasuk pelanggan musnah dalam kebakaran itu.

Menurutnya, lebih menyedihkan apabila beberapa kereta klasik kesayangannya seperti Jaguar dan Volkswagen yang disimpan dalam bengkel itu turut musnah.

"Dua minggu lalu, tiga kenderaan yang disimpan di stor terletak kira-kira 50 meter dari bengkel ini turut musnah terbakar.

"Saya tidak pasti punca kebakaran ini dan sukar mempercayainya, selain tidak pasti jumlah kerugian ditanggung," katanya yang berharap pihak berkuasa segera menyiasat punca kebakaran berlaku.

Katanya, kebakaran yang berlaku ini hampir menutup periuk nasinya dan beberapa pekerja selain dianggap misteri.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadam kebakaran membabitkan sebaris lima premis di kawasan perindustrian Padang Lalang. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha memadam kebakaran membabitkan sebaris lima premis di kawasan perindustrian Padang Lalang. FOTO Mohd Rafi Mamat

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, sembilan lot membabitkan lima stor penyimpanan pelbagai peralatan dan barangan termasuk bengkel kereta serta stor bundle musnah terbakar.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.40 pagi sebelum seramai 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, BBP Indera Mahkota dan BBP Gebeng terbabit menyertai operasi memadam kebakaran berkenaan.

"Pihak bomba mengambil masa panjang untuk memadam api di stor pakaian bundle kerana simpana,nya yang banyak berikutan stok baru tiba semalam," katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 12:43 PM