Bomba berusaha mengeluarkan lembu betina yang terjatuh ke dalam perigi. FOTO Ihsan Bomba
Bomba berusaha mengeluarkan lembu betina yang terjatuh ke dalam perigi. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain


LEMBU betina yang terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam enam meter berjaya diselamatkan bomba di Jalan Siswi, Kampung Sungai Kandis, Shah Alam malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 7.49 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian, kita dapati seekor lembu berada di dalam perigi itu dengan kedua-dua kaki belakangnya tersangkut.

“Bomba mengambil masa lebih sejam bagi mengeluarkan lembu itu dengan menggunakan jengkaut pemilik kandang haiwan berkenaan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, perigi itu terletak di kawasan kandang lembu dan haiwan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selepas berjaya mengeluarkan lembu itu, ia diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata, lapan pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi usaha menyelamat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 12:04 PM