Redzuan (dua kiri) bersama lembu sado jenis baka limosin yang dijualnya pada harga RM14,300. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Redzuan (dua kiri) bersama lembu sado jenis baka limosin yang dijualnya pada harga RM14,300. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENGORBANAN penternak menggunakan semua wang simpanan membeli seekor lembu sado baka limosin dengan harga RM6,000 berhasil apabila dia mampu mendapat pulangan berganda dalam tempoh 11 bulan.

Lembu itu berjaya dijual RM14,300 hari ini selepas ternakan itu mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Lembu Sado Sempena Himpunan Lembu Sado Pantai Timur di Jabi baru-baru ini.

Lembu sado yang dipanggil Pancar Delima dengan berat 684 kilogram (kg) itu dibeli tunai penternak dari Bachok, Kelantan.

Redzuan Yusof, 36, dari Kampung Bukit Tumbuh berkata, dia membeli lembu itu dengan penternak dari Bachok itu Disember lalu dengan wang simpanannya selama tiga tahun. “Jika diikutkan, saya sayang menjualnya terutama selepas Pancar Delima meraih tempat pertama dalam pertandingan baru-baru ini.

“Saya sendiri tidak menjangka Pancar Delima berjaya mengalahkan lebih 30 ekor lembu baka lain pada pertandingan yang pertama kali disertai itu.

“Bagaimanapun kerana kesungguhan dan tawaran harga berpatutan diberikan pembeli, saya nekad menjualnya walaupun sayang dan masih belum puas menjaganya,” katanya.

Menurutnya, dia yang baru saja menceburi bidang penternakan lembu sado selain turut membela dua ekor kerbau akan memanfaatkan wang berkenaan untuk menambah bilangan haiwan ternakannya.

Katanya, dia bercadang menggunakan wang hasil jualan Pancar Delima untuk membeli semula anak lembu baka limosin lain.

“Lebih RM250 sebulan saya peruntukkan membeli makanan dan ubat Pancar Delima.

“Dalam bidang penternakan lembu sado ini, makanan ialah perkara paling penting selain faktor kebersihan di dalam kandang.

“Jika lembu mendapat bekalan makanan yang mencukupi, ternakan membesar dengan baik dan sihat,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 6:07 PM