PENDUDUK melihat empat lembu sado yang dibeli dengan harga RM30,000. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
PENDUDUK melihat empat lembu sado yang dibeli dengan harga RM30,000. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


MINAT dengan keunikan lembu sado, seorang lelaki sanggup mengeluarkan duit simpanannya sebanyak RM30,000 untuk membeli empat lembu baka jenis itu.

Lembu baka jenis Charolais, Limosin, Angus dan Brahman yang dianggarkan masing-masing seberat 700 hingga 800 kilogram itu dibeli daripada rakan penternak dari Kampung Gong Terap, Permaisuri, awal tahun lalu.

Zaradi Zakaria, 53, berkata ramai rakan mempersoalkan kesanggupan dan keberaniannya melabur wang yang terlalu banyak untuk membeli empat lembu baka itu.

“Namun, kerana terlalu minat, saya sanggup mengorbankan apa saja asalkan hati berasa puas memandangkan saya sudah lama teringin menternak lembu sado.

“Apabila ada rakan ingin menjual lembu sado dengan harga berpatutan, saya terus membelinya tanpa berfikir panjang biar pun terpaksa mengorbankan wang simpanan,” katanya ketika ditemui di kandang lembu sado di Kampung Sungai Pinang, Permaisuri, hari ini.

Zaradi berkata, dia menternak lembu kampung sejak 23 tahun lalu dan mempunyai sebanyak 40 lembu untuk penyembelihan dan jualan daging segar.

“Saya bukan saja penternak lembu tetapi juga pembekal daging lembu untuk pelbagai majlis termasuk majlis perkahwinan di daerah ini.

“Jadi pembelian empat lembu sado ini bukan sekadar minat tetapi sebagai pelaburan dalam memajukan perniagaan dan bidang penternakan,” katanya.

Dia berkata, empat lembu sado itu akan menjamin keuntungan berlipat kali ganda pada masa akan datang kerana ia boleh dijual pada bila-bila masa sahaja.

“Jika diikutkan harga setiap seekor lembu sado itu boleh mencecah antara RM9,000 hingga RM10,500 seekor. Jadi, saya tidak bimbang akan menanggung kerugian kerana dalam bidang penternakan, kes kerugian jarang berlaku melainkan haiwan yang diternak itu mati.

“Saya sudah sedia maklum dengan permintaan lembu sado yang semakin tinggi malah, daging segar lembu itu juga mempunyai permintaan tersendiri dalam kalangan penggemarnya.

“Jika lembu itu tidak boleh dijual hidup pada masa akan datang, saya boleh menyembelihnya dan menjual dagingnya kepada penjual daging di pasar atau untuk majlis perkahwinan,” katanya.

Menurutnya, musim perayaan dan cuti sekolah menjadi pilihan penduduk di negeri ini mengadakan majlis perkahwinan sekali gus menyebabkan permintaan terhadap daging lembu juga meningkat.

“Pada minggu ini saja, sebanyak 18 hingga 20 lembu kampung ditempah untuk majlis perkahwinan dan keadaan itu memang biasa setiap kali menjelang musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 4:42 PM