SEBAHAGIAN daripada sate katak yang dirampas Maqis Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). FOTO Ihsan Maqis
SEBAHAGIAN daripada sate katak yang dirampas Maqis Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). FOTO Ihsan Maqis
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas sebanyak 21 kilogram sate katak yang dibawa ke negara ini menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), hari ini.

Maqis dalam kenyataannya berkata, rampasan berkenaan dikesan menerusi mesin pengimbas dan pemeriksaan yang dilakukan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, sate katak yang dianggarkan bernilai RM1,500 itu dirampas hasil pemeriksaan bagasi terhadap beberapa penumpang dari Myanmar.

"Rampasan ini adalah yang terbesar bagi produk hasilan haiwan setakat Julai.

"Perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Maqis berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

"Kawalan terhadap kemasukan produk hasilan pertanian akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan keterjaminan makanan terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 9:29 PM