ANGGOTA APM membantu menumbangkan lembu yang terlepas dari ikatan di Masjid Al-Khairiah, Taman Seri Gombak, Kuala Lumpur, semalam. FOTO APM
ANGGOTA APM membantu menumbangkan lembu yang terlepas dari ikatan di Masjid Al-Khairiah, Taman Seri Gombak, Kuala Lumpur, semalam. FOTO APM
Nurul Hidayah Bahaudin


LEMBU korban bertindak agresif menyebabkan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Khairiah di Taman Seri Gombak, terpaksa mendapatkan khidmat bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menyembelih haiwan berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, lembu berkenaan dikatakan terlepas daripada ikatan pada Selasa sebelum ditemui di dalam kawasan hutan berhampiran tangki air, iaitu 500 meter daripada lokasi haiwan itu hilang, kira-kira 2 petang semalam.

Pegawai APM Kuala Lumpur Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada AJK masjid berkenaan pada 4.05 petang sebelum enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati haiwan itu sudah diikat pada pokok berhampiran. Kami dimaklumkan oleh AJK masjid berkenaan untuk membawa lembu terbabit ke lokasi haiwan itu disembelih.

"Namun, lembu itu yang bertindak agresif menyebabkan anggota APM bertugas terpaksa menumbangkan haiwan terbabit dengan bantuan kira-kira 20 AJK masjid berkenaan sebelum disembelih di lokasi," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Shahrul Kamar berkata, AJK masjid terbabit memaklumkan lembu itu dihantar ke masjid berkenaan pada Isnin untuk ibadah korban, namun disedari terlepas daripada ikatan kira-kira 10 pagi, Selasa lalu.

"Haiwan itu kemudian ditemui kira-kira 2 petang, Jumaat, sebelum diikat pada pokok berhampiran, namun AJK masjid berdepan kesukaran untuk membawa lembu itu ke kawasan penyembelihan kerana haiwan berkenaan bertindak agresif.

"Kami mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menumbangkan lembu itu bagi membolehkan AJK masjid melakukan penyembelihan di lokasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 9:31 AM