ANGGOTA bomba berjaya membawa naik lembu jantan yang terjatuh ke dalam perigi di Kampung Baru Sungai Mekong, dekat Jeli, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berjaya membawa naik lembu jantan yang terjatuh ke dalam perigi di Kampung Baru Sungai Mekong, dekat Jeli, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SEEKOR lembu jantan yang terjatuh dalam perigi sedalam lebih tiga meter diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli di Kampung Baru Sungai Mekong, dekat Jeli, hari ini.

Lembu berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam perigi sejak malam tadi sebelum pemilik membuat panggilan kepada bomba pada 9.35 pagi.

Komander Operasi BBP Jeli, Norazman Sulaiman berkata, pemilik lembu itu pada awalnya mencari lembu berkenaan sebelum menemuinya di dalam perigi.

“Sejurus mendapat panggilan, saya bersama tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, kami dapati seekor lembu terperangkap dalam perigi itu sebelum diselamatkan dengan menggunakan peralatan khas.

“Kami mengambil masa selama 25 minit untuk membawa naik haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati haiwan itu mengalami luka di bahagian badan.

Menurutnya, lembu itu kemudian diserahkan kepada pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 6:07 PM