SITI Nur Athirah, 15 yang hilang dari rumahnya di Taman Sentosa, Gemas sejak Ahad lalu. FOTO Ihsan Pembaca
SITI Nur Athirah, 15 yang hilang dari rumahnya di Taman Sentosa, Gemas sejak Ahad lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“TIRAH, abi dan ummi rindukan kamu,” rayu pesara tentera, Kamarudin Yaacob, 45 terhadap anak perempuannya, Siti Nur Athirah, 15, yang menghilangkan diri dari rumah mereka di Taman Sentosa, Gemas, di Tampin sejak Ahad lalu.

Kamarudin berkata, anak keempat daripada lapan beradik itu keluar pada 10 pagi dan memberitahu keluarga mahu ke rumah rakan yang terletak berdekatan.

Katanya, sehingga 7.40 malam anaknya masih tidak pulang menyebabkan keluarga mulai bimbang, malah cubaan menghubungi Siti Nur Amirah gagal apabila panggilan ke telefon bimbitnya tidak dijawab.

“Saya cuba menghantar pesanan melalui WhatsApp, namun nombor telefon disekat. Bukan saja saya, Tirah turut membuat sekatan daripada menerima panggilan nombor telefon tiga kakaknya berusia 22 hingga 18 tahun,” katanya.

Menurut Kamarudin, dia menghubungi rakan anaknya dan dimaklumkan nombor telefon mereka juga disekat.

“Isteri memaklumkan Tirah ada mengirimkan WhatsApp pada 7.30 malam dan meminta maaf. Dia beritahu tinggal bersama ibu angkat yang dipanggil mama bersama seorang anak perempuannya,” katanya.

Menurutnya, anaknya memaklumkan mahu berhenti belajar di Sekolah Menengah Rendah Agama Gemas dan mahu bekerja di restoran milik wanita itu.

“Keluarga menentang hasratnya itu dan meminta dia meneruskan persekolahan sehingga mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dulu,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Kamarudin, dia percaya anaknya merajuk dan bertindak lari dari rumah apabila hasratnya dihalang.

“Tirah, dengar cakap abi, pulanglah untuk kebaikan Tirah. abi, ummi, kakak dan adik-adik semua menunggu Tirah pulang,” katanya meminta orang ramai yang mengetahui mengenai anaknya supaya menghubunginya di talian 019-2756085.

Sehubungan kehilangan itu, Kamarudin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, di sini 5.05 petang pada 29 Oktober lalu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 1:49 PM