Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“TERIMA kasih Harian Metro kerana membantu, jikalau tidak saya tidak tahu bagaimana untuk mencari Athirah,” kata pesara tentera, Kamarudin Yaacob, 45 yang bersyukur apabila anaknya Siti Nur Athirah, 15 yang menghilangkan diri pada 29 Oktober lalu pulang semula ke pangkuan keluarga.

Kamarudin berkata, sebaik kehilangan anak keempatnya disiarkan Harian Metro, 2 November lalu, Siti Nur Athirah menghubunginya pada keesokan hari.

“Athirah meminta maaf kerana meninggalkan keluarga dan memaklumkan dia selamat. Dia juga memberitahu tinggal bersama rakan perempuan dan mahu bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Kamarudin, sehubungan itu dia dan isterinya bergegas ke Kepong, Kuala Lumpur dari rumahnya di Taman Sentosa, Gemas, untuk membawa Siti Nur Athirah pulang pada Ahad lalu.

“Sebaik saya dan isteri tiba di sana, Athirah memeluk erat kami sambil menangis dan meminta maaf sambil memberitahu tidak akan mengulangi tindakannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kata Kamarudin lagi, anaknya juga bersemangat meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Rendah Agama Gemas.

Harian Metro pada 2 November lalu melaporkan Kamarudin merayu supaya anaknya segera pulang kerana ibu dan tiga kakaknya amat merinduinya.

Kehilangan anak keempat daripada lapan beradik itu disedari 10 pagi sebaik dia memberitahu mahu ke rumah rakan di taman yang sama.

Sehingga 7.40 malam, Siti Nur Athirah masih tidak pulang menyebabkan laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin.

Katanya, anaknya melarikan diri apabila hasratnya untuk berhenti sekolah dan mahu bekerja di sebuah restoran milik seorang wanita ditentang ahli keluarga.

Berita berkaitan

Baliklah, Tirah...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 3:27 PM