KANAK-kanak diberi pendedahan berkenaan cara melindungi diri khususnya penggunaan cecair pembasmi kuman dalam usaha mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Foto NSTP
KANAK-kanak diberi pendedahan berkenaan cara melindungi diri khususnya penggunaan cecair pembasmi kuman dalam usaha mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Foto NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


SEJUMLAH 51,147 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di seluruh negara bermula 1 Januari lalu hingga kelmarin.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Sarawak mencatat bilangan tertinggi dengan 6,209 kes atau 12.1 peratus daripada jumlah itu.

Di Sarawak, katanya, majoriti kes dilaporkan dari Kuching sebanyak 1,387 kes atau 22.3 peratus bagi tempoh sama dengan satu kematian dilaporkan membabitkan seorang kanak-kanak berusia 27 bulan dari daerah Mukah pada 28 Julai lalu.

“Kakaknya juga mempunyai gejala HFMD, tetapi sudah sihat tanpa komplikasi,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-DAP Bandar Kuching) mengenai jumlah kes secara terperinci penyakit HFMD di Sarawak dan langkah pencegahan.

Mengenai penutupan taska, tadika atau prasekolah, Dr Zulkefly berkata, tindakan itu dibuat sekiranya berlaku wabak iaitu dua atau lebih kes HFMD di premis berkaitan dalam tempoh inkubasi HFMD.

“Penutupan premis dilakukan untuk tempoh 10 hari dari tarikh onset kes HFMD terakhir dikesan di premis sama.

“Premis yang dimaksudkan merujuk kepada kelas mana kes itu dikesan.

“Tujuan penutupan premis adalah untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain, selain membolehkan pengusaha premis menjalankan proses basmi kuman alat mainan serta permukaan tercemar seperti lantai dan meja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 12:14 PM