Abang Mat Ali (tengah) bergambar bersama murid selepas Majlis Pengiktirafan MBOR Murid Teramai Membersihkan Tangan Secara Serentak Dengan Hand Sanitizer Peringkat Sarawak 2019, di Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri.
Abang Mat Ali (tengah) bergambar bersama murid selepas Majlis Pengiktirafan MBOR Murid Teramai Membersihkan Tangan Secara Serentak Dengan Hand Sanitizer Peringkat Sarawak 2019, di Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road di Kuching. FOTO Norsyazwani Nasri.
Norsyazwani Nasri

SERAMAI 553 murid di Sarawak dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, ia berdasarkan data terkini dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak empat kelas tahun satu dan sembilan kelas pra-sekolah di Sarawak diarahkan ditutup.

“Arahan yang dikeluarkan ini adalah mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) Murid Teramai Membersihkan Tangan Secara Serentak dengan Hand Sanitizer peringkat Sarawak 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road, Kuching, semalam.

Program anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Melilea (M) Sdn Bhd itu membabitkan lebih 450,000 murid tahun satu seluruh negara.

Menurut Abang Mat Ali, disebabkan bilangan kes HFMD semakin meningkat di negara ini, pelbagai langkah pencegahan diambil termasuk pelaksanaan pemeriksaan saringan di pintu masuk sekolah.

“Kita meminta ibu bapa kepada murid yang ada gejala HFMD mendapatkan rawatan segera.

“Sebagai langkah tambahan, sekolah juga perlu menjalankan aktiviti pembersihan premis dan saringan terhadap kanak-kanak di bawah jagaan mereka seperti yang disarankan dalam Garis Panduan Bagi Mencegah dan Mengawal HFMD,” katanya.

Beliau berkata, pencegahan membabitkan penjagaan kebersihan adalah paling utama dalam mengatasi masalah ini.

“Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun dalam kalangan anak.

“Kita berterima kasih kepada guru besar dan guru di 1,265 sekolah rendah di Sarawak yang terbabit menjayakan acara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 2:10 PM