Dr Sirajuddin Hashim
Dr Sirajuddin Hashim
Aizat Sharif


Kangar: Penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Perlis meningkat sebanyak 373 peratus apabila 497 kes dilaporkan sehingga Minggu Epid (ME) ke-20 semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim berkata, ia menunjukkan peningkatan yang tinggi peratus berbanding pada ME yang sama tahun lalu yang hanya mencatatkan sekitar 105 kes.

Katanya, majoriti kes HFMD di negeri ini membabitkan penularan di taska, tabika dan tadika dan sehingga kini, terdapat 20 premis berkenaan ditutup bagi mengelakkan penularan.

"Arau mencatatkan kes yang paling tinggi dengan 70 kes direkodkan selain Sena dan Sanglang masing-masing 54 dan 43 kes.

"Dalam usaha mencegah atau membendung penularan kes ini terutama di taska, tabika dan tadika maka penutupan sementara premis berkenaan selama 14 hari dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan sanitasi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, selain itu juga pemilik premis dikehendaki menjalankan sanitasi menyeluruh di dalam dan luar premis selain alatan permainan dan bantuan mengajar.

"Selain itu, pendidikan kesihatan secara langsung kepada pihak pengurusan taska atau tadika serta petugas dan guru yang menguruskan kanak-kanak secara langsung berkenaan amalan kebersihan dan sanitasi rutin di taska, langkah kawalan perebakan penyakit berjangkit di taska seperti larangan berkongsi barangan peribadi kanak-kanak dan menggalakkan amalan mencuci tangan.

"Malah, tanda awal kanak-kanak yang tidak sihat juga perlu diberi perhatian semasa saringan pintu masuk," katanya.

Dr Sirajuddin berkata, selain itu langkah pencegahan menerusi risalah dan poster mengenai HFMD serta amalan kebersihan yang baik turut diedarkan kepada pusat taska dan tadika.

Beliau berkata, selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengambil langkah yang proaktif dengan mengaktifkan ciri terbaru pengesanan kes penyakit berjangkit (Infectious Disease Tracker) dalam aplikasi MySejahtera.

"Ini termasuk bagi kes penyakit berjangkit seperti Covid-19, Penyakit Anjing Gila (rabies), demam campak (measles), demam denggi dan HFMD di kawasan sekitar.

"Ciri ini boleh membantu orang awam untuk menjalankan aktiviti dan perjalanan harian secara lebih berhati-hati selepas mengenal pasti kawasan berisiko dalam radius berbeza mengikut penyakit," katanya.

#kw HFMD, Perlis, meningkat, tadika, taska, Kangar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 5:41 PM