KOMPLEKS TH, Sepang dan Movenpick Hotel yang akan digunakan buat pertama kali bagi mengendalikan operasi haji tahun ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KOMPLEKS TH, Sepang dan Movenpick Hotel yang akan digunakan buat pertama kali bagi mengendalikan operasi haji tahun ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nur Lela Zulkipli


WANITA UMNO menggesa Tabung Haji (TH) supaya mengembalikan perkhidmatan penginapan percuma kepada bakal jemaah haji yang transit musim ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, bakal jemaah haji yang juga pendeposit, wajar mendapat layanan terutamanya dalam pemberian penginapan percuma sebelum berlepas ke Tanah Suci.

"Buat pertama kalinya dalam sejarah, penginapan percuma kepada jemaah haji dihapuskan dan dikenakan bayaran yang dianggap mahal kepada jemaah.

"Akibatnya, bakal jemaah haji transit terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi penginapan mereka sedangkan tidak semua jemaah haji tergolong daripada orang yang berkemampuan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada 13 Julai lalu, Pengarah Operasi TH, Datuk Syed Salleh Syed Abd Rahman memberi penjelasan bahawa keputusan berkenaan dibuat sebulat suara oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab di TH.

Syed Salleh berkata, untuk mengubah keputusan yang telah dibuat, ia memerlukan persetujuan daripada jawatankuasa yang sama.

Dalam masa sama, Noraini turut berpandangan semua bakal jemaah haji layak dan berhak mendapat penginapan percuma seperti mana yang dilaksanakan oleh TH lebih 33 tahun lalu.

"Tidak semua jemaah haji mampu membayar kos penginapan yang mahal itu. TH tidak wajar mengambil keuntungan dari situasi jemaah haji yang memerlukan penginapan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"TH sebagai agensi utama yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan untuk mengelola urusan haji di Malaysia sepatutnya menjaga kebajikan jemaah haji terutamanya yang datang jauh dari ibu negara," katanya.

Difahamkan, bakal jemaah dan waris yang mahu menginap, TH menyediakan bilik di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) di Sepang tetapi kos penginapan ditanggung sepenuhnya oleh jemaah.

Penerbangan pertama haji akan berlepas pada Ahad ini sementara penerbangan terakhir ke Tanah Suci dijangka pada 14 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 8:46 PM