JEMAAH haji siap sedia berlepas ke Makkah. FOTO Arkib NSTP
JEMAAH haji siap sedia berlepas ke Makkah. FOTO Arkib NSTP
Nik Sukry Ramli


KUMPULAN pertama daripada 2,056 jemaah haji dari Pahang sudah berlepas ke Makkah hujung minggu lalu.

Sumber dari Tabung Haji (TH) berkata, kumpulan itu berlepas dari Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Semua bakal haji dari Pahang berlepas dari MHCC KLIA. Ini kerana kita tidak ada stesen (berlepas) di negeri ini berbanding negeri Terengganu dan Kelantan.

"Kumpulan pertama sudah berlepas bersama penerbangan KT1 minggu lalu dan selebihnya akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

MHCC KLIA adalah milik TH Properties dan mula dibina pada tahun 2013 membabitkan kos RM463.9 juta dan siap sepenuhnya April lalu.

Pusat konvensyen yang lebih selesa itu menggantikan stesen berlepas jemaah haji sebelum ini di Kompleks TH Kelana Jaya, Selangor.

Lokasi MHCC KLIA yang terletak kira-kira 4 kilometer dari KLIA juga adalah lebih strategik dan memudahkan bakal jemaah serta ahli keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 2:52 PM