SEMBURAN air ketika jemaah haji berwukuf di Jabal Rahmah di Padang Arafah. FOTO Reuters
SEMBURAN air ketika jemaah haji berwukuf di Jabal Rahmah di Padang Arafah. FOTO Reuters
Reuters

Makkah: Jemaah haji Palestin, Abu Anas Abu Rahal berharap dapat mencari penginapan selama seminggu lebih murah di Tanah Suci.

Ia berikutan kos minimum ibadah itu yang meningkat kepada 26,000 riyal (kira-kira RM32,332) tahun ini.

Lelaki berusia 65 tahun itu berdepan kesulitan untuk membayar bil penginapan walaupun memilih pakej paling murah merangkumi perjalanan ke Arab Saudi melalui darat, selain berkongsi bilik hotel dengan jemaah haji lain.

"Saya meminta pilihan keempat, dengan hotel lebih jauh yang mungkin separuh lebih murah.

"Bagaimanapun, ia berbaloi demi menjejakkan kaki di Tanah Suci dan Kaabah... tetapi keadaan ekonomi benar-benar sukar," kata Abu Anas sambil menambah jemaah haji tahun lalu membayar harga yang sama untuk pakej termasuk penerbangan.

Abu Anas adalah salah seorang daripada lebih dua juta jemaah haji yang terpilih mengikuti musim haji 2023.

Pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan lebih 1.6 juta jemaah haji sudah tiba untuk menunaikan haji setakat Ahad.

Ibadah itu secara rasmi bermula pada Selasa.

Haji, satu kewajipan sekali seumur hidup bagi setiap Muslim yang berkemampuan yang mampu adalah sumber pendapatan utama kerajaan Saudi daripada penginapan, pengangkutan, bayaran dan hadiah jemaah.

Kerajaan Arab Saudi memperoleh kira-kira AS$12 bilion (kira-kira RM56 bilion) setiap tahun daripada 2.6 juta jemaah yang pernah melawat Makkah dan Madinah untuk mengerjakan haji, dan 19 juta lagi jemaah umrah direkodkan menurut data rasmi untuk 2019, atau tahun terakhir sebelum pandemik Covid-19.

Sekumpulan besar lelaki memakai ihram putih dan wanita kebanyakannya berjubah hitam mengelilingi Kaabah di Masjidilharam,

Penghalang hijau diletakkan di luar masjid untuk mengawasi orang ramai dan mengelakkan rempuhan yang mengorbankan ratusan individu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 1:51 PM