FAIL Reuters/Ahmed Jadallah
FAIL Reuters/Ahmed Jadallah


Makkah: Kesemua 22,320 jemaah haji Malaysia akan mula bergerak ke padang Arafah untuk menjalani ibadat wukuf, yang jatuh pada Ahad (11 September).

Jemaah akan bergerak ke Arafah yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari Masjidil Haram, di sini, secara berperingkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata 22 bas disediakan bagi setiap maktab penginapan jemaah.

Terdapat enam maktab yang terletak di sembilan bangunan iaitu hotel yang dijadikan tempat penginapan semua jemaah di sini.

Jamil Khir ketika bertemu jemaah di semua maktab sebelum ini mengingatkan mereka mengenai betapa pentingnya menjaga kesihatan masing-masing.

“Ini adalah kemuncak kepada ibadat haji dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental,” katanya menambah keadaan cuaca yang mencecah lebih 50 darjah Celsius juga menjadi ujian besar kepada jemaah.

Beliau turut menasihati jemaah agar menjaga disiplin yang tinggi selain menumpukan kepada ibadat dan mendokan kesejahteraan negara serta keluarga.

Dianggarkan lebih dua juta umat Islam seluruh dunia akan berhimpun di padang Arafah untuk berwukuf.

Wukuf adalah ritual haji yang dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai dari tergelincirnya matahari pada tanggal 9 Zulhijjah sehinggalah terbenamnya matahari pada 10 Zulhijjah iaitu keesokan harinya.

Jemaah perlu menumpukan kepada ibadat ketika di Arafah yang juga tempat yang dimakbulkan doa oleh Allah SWT.

Jemaah kemudiannya akan melaksanakan mabit di Muzdalifah, Mina dan melakukan lontaran di Jamrat sehingga 13 Zulhijjah.

Seterusnya jemaah akan mlelakukan tawaf dan Saie haji serta bertahalul.

Sebelum pulang ke tanah air, jemaah akan melakukan pula tawaf Wada’ atau tawaf selamat tinggal yang tentunya meninggalkan seribu kenangan ketika di tanah suci.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 11:28 PM