PETUGAS  talian TAIB  menjawab panggilan daripada jemaah.
PETUGAS talian TAIB menjawab panggilan daripada jemaah.
PETUGAS Unit Bimbingan Haji berbincang bersama  Hassan (kiri).
PETUGAS Unit Bimbingan Haji berbincang bersama Hassan (kiri).
Safar Ahmad

Makkah: Kira-kira 19 peratus saja panggilan dibuat jemaah haji ke Talian Ibadat Tanah Suci (TAIB) berhubung permasalahan hukum hakam ibadat membabitkan jemaah yang tidak tahu mengenai sesuatu permasalahan manakala bakinya hanya untuk mendapatkan pengesahan.

TAIB yang akan beroperasi 24 jam sehari bermula 20 Zulkaedah 1437 (23 Ogos) hingga 20 Zulhijjah (21 September) akan menjawab segala permasalahan berkaitan ibadat haji yang dikemukakan jemaah.

Ketika ini TAIB yang boleh dihubungi melalui nombor 012-5706161 beroperasi 18 jam sehari antara jam 7 pagi hingga 1 pagi.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, sehingga ini pihaknya menerima 148 panggilan yang mana hanya 28 daripadanya membabitkan pertanyaan daripada jemaah yang benar-benar tidak tahu mengenai permasalahan ibadat.

Katanya, sebahagian besar panggilan daripada jemaah adalah membabitkan pengesahan mengenai sesuatu hukum sebagai contoh ada jemaah yang mahu mengesahkan sama ada mereka yang selesai melakukan ibadat saie wajib menggunting tiga helai rambut atau mencukur keseluruhan rambut.

“Dengan keberkesanan kursus haji yang kita anjurkan di tanah air nampaknya ramai jemaah yang faham dan mereka hanya menelefon untuk pengesahan berbanding satu ketika dulu ramai jemaah yang bertanya sebab mereka tidak tahu.

“Talian ini yang kita wujudkan sejak lima tahun lalu banyak membantu jemaah menjawab permasalahan mereka dengan segera,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan jemaah haji tidak keliru dengan cara ibadat di Arab Saudi, pakar rujuk yang dilantik Lembaga Tabung Haji (TH) juga akan membantu menyelesaikan sebarang persoalan yang timbul.

Katanya, sebagai contoh TH mengeluarkan pekeliling mengenai azan ketika solat Jumaat yang mengikut fatwa di Arab Saudi azan pada hari Jumaat di Tanah Suci dilaungkan setengah jam sebelum masuk waktu Zuhur.

“Ini mungkin menimbulkan kekeliruan kepada jemaah yang mana mereka akan mendirikan solat sunat Jumaat (sedangkan belum masuk waktu),” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan 36 Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) akan menjawab setiap permasalahan ditimbulkan jemaah.

Tiga pakar rujuk turut ditempatkan di tiga lokasi di Tanah Suci untuk memberi penjelasan berhubung sesuatu perkara.

Mereka ialah mantan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad selaku pengerusi, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Razali Shahabudin dan Prof Madya Dr Raihanah Azahari dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Katanya, PIHTAS ditempatkan di setiap zon dan maktab penginapan yang menjalankan beberapa siri bimbingan sepanjang masa sama ada di Makkah atau Madinah bagi memastikan jemaah jelas dengan setiap permasalahan.

“Kita mengedarkan risalah berkaitan hukum hakam yang timbul dan dengan pembacaan ini jemaah boleh menyampaikan kepada rakan mereka di bilik penginapan.

“Kita mahu jemaah memberi tumpuan penuh kepada ibadat dan tidak membuang masa terutama ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina sebab ini adalah peluang keemasan untuk semua jemaah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 9:11 AM