DARI kiri, Yusnah,  Norhayati, Sos, Dr Muhammad Amin  dan Ramli  yang  hadir pada Program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-34 di TH Hotel Penang, Bayan Lepas.
DARI kiri, Yusnah, Norhayati, Sos, Dr Muhammad Amin dan Ramli yang hadir pada Program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-34 di TH Hotel Penang, Bayan Lepas.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Perbincangan dalam Program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-34 di TH Hotel Penang, Bayan Lepas, di sini bukan saja bertujuan menetapkan keseragaman dalam hukum hakam haji, malah menjadi platform kepada kesepakatan mencari penyelesaian membabitkan masalah ketika pengurusannya.

Program anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang berlangsung selama empat hari bermula Ahad lalu hingga hari ini disertai seramai 500 delegasi dari Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Turki dan Kemboja serta turut membabitkan pembentangan lima kertas kerja dalam pelbagai aspek.

Antaranya berkaitan penyucian jiwa daripada amalan saka dan susuk, permasalahan hukum dalam masa ibadah haji, badal haji bagi jemaah yang sakit atau tidak ada harapan sembuh di Tanah Suci, kajian semula niat bersyarat dan adab serta etika dari segi kebersihan.

Peserta dari Malaysia, Ramli Ibrahim daripada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) Perlis turut berkongsi pengalamannya menyertai program berkenaan sejak enam tahun lalu yang dilihat positif bagi mengetengahkan isu semasa serta membantu memperbaiki kelemahan dalam pelaksanaan ibadat berkenaan.

“Isu dan penyelesaian dibincangkan akan dibawa ke kursus asas haji bagi pengetahuan bakal jemaah dengan penambahbaikan mengikut mazhab Syafie.

“Setiap tahun ada isu serta penambahbaikan dibincangkan bersama delegasi dari negara berlainan dan ia dijadikan sebagai panduan kepada TH dan bakal jemaah dalam melaksanakan haji,” kata penceramah bebas itu ketika ditemui.

Peserta PEKTA Selangor, Yusnah Yusof berkata, kos RM9,980 yang dikenakan kepada jemaah bagi menunaikan haji adalah berpatutan berbanding kos tanpa subsidi lebih RM20,000 bagi seorang jemaah.

“Kos itu bukan saja membiayai penginapan, tetapi membabitkan infrastruktur bagi memudahkan pergerakan jemaah sepanjang ibadah selain menerima beberapa siri kursus haji secara percuma.

“Selain persiapan mental, fizikal dan rohani, ingin ditegaskan supaya jemaah menjaga aspek kebersihan sepanjang menunaikan haji dan dari segi disiplin, jemaah kita adalah yang terbaik,” katanya.

Peserta Nadwah Urusan Haji Asia Tenggara (NUHAT) dari Singapura, Norhayati Haron berkata, republik itu mempunyai kuota seramai 800 jemaah haji setiap tahun di bawah pemantauan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) serta membabitkan kos antara SGD7,000 (RM21,347.17) hingga SGD15,000 (RM45,743.93).

Katanya, MUIS akan melantik syarikat berkenaan bagi menguruskan urusan jemaah bermula di Singapura hingga selesai urusan ibadah haji.

“Kami mempunyai badan sukarelawan yang bertindak membantu jemaah ini baik daripada segi urusan dokumentasi hingga aspek kesihatan,” kata Pengarah Perkhidmatan Aset dan Kewangan MUIS itu.

Peserta NUHAT dari Thailand, Dr Muhammad Amin Chenu berkata, walaupun ia adalah penyertaan sulung negara terbabit dalam program muzakarah berkenaan, pihaknya sudah bekerjasama dengan TH sejak 20 tahun lalu bagi urusan haji.

Peserta NUHAT daripada Majlis Tertinggi Agama Islam Persatuan Kemboja, Sos Nurun berkata, banyak perkara dipelajari melalui program muzakarah itu terutama dari segi pengurusan pentadbiran pelbagai negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 6:03 AM