Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyantuni bakal jemaah haji dari kumpulan ke-38 berlepas ke tanah suci dengan menaiki penerbangan Saudi Airlines SV 5013 pada 2.15 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyantuni bakal jemaah haji dari kumpulan ke-38 berlepas ke tanah suci dengan menaiki penerbangan Saudi Airlines SV 5013 pada 2.15 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
BERNAMA

Sepang: Penerbangan bagi 56 bakal jemaah haji daripada kumpulan KT043 yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pagi tadi, dijadualkan semula esok.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka yang terlibat dijadualkan berlepas dengan penerbangan Saudi Airlines pada 5.35 petang, menuju ke Jeddah dan kemudian diterbangkan ke Madinah.

Menurut kenyataan itu, pesawat Saudi Airlines SV5091 yang dijadual berangkat ke Tanah Suci pada 6.30 pagi hari ini dengan muatan sebanyak 353 orang dari balai pelepasan Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) Sepang, dilaporkan mengalami masalah teknikal.

"Sebuah pesawat gantian diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membawa 297 bakal haji dari kumpulan jemaah berkenaan dan berlepas dari KLIA pada 10.36 pagi tadi menuju ke Madinah," katanya.

Menurut kenyataan itu, TH akan menyediakan penginapan dan makanan kepada 56 bakal haji yang terkesan di MHCC, Sepang sehingga tarikh penerbangan baharu bagi memastikan kebajikan mereka terjaga sepenuhnya.

"Penjadualan semula penerbangan kumpulan kecil bakal haji ini tidak menjejaskan jadual penerbangan bagi kumpulan bakal haji yang lain dan akan berjalan seperti biasa," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:13 PM