MHCC KLIA dibina dengan kos RM463.9 juta mula dibina pada Januari 2013.
MHCC KLIA dibina dengan kos RM463.9 juta mula dibina pada Januari 2013.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Hartanah terbaru milik Tabung Haji (TH), Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) KLIA dijangka siap sepenuhnya dan bakal beroperasi pada Julai ini.

MHCC KLIA yang memulakan pembinaan pada Januari 2013 dan membabitkan kos RM463.9 juta dilihat menjadi lokasi pusat konvensyen dan penginapan terbaru bertaraf empat bintang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman berkata, MHCC KLIA ini adalah antara hartanah terbaru yang dibangunkan TH Properties Sdn Bhd.

Katanya, pembinaan di atas tapak seluas 7.173 hektar ini bakal menempatkan hotel bertaraf empat bintang yang akan dikendalikan oleh Movenpick Hotels & Resorts, Anjung Tinjau, pusat konvensyen termasuk pusat operasi haji, dan astaka.

“Setakat 28 Februari lalu, pembangunan MHCC KLIA ini siap 97 peratus dan Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) disasarkan pada April 2018.

“Selain daripada beroperasi sebagai pusat konvensyen dan hotel, MHCC KLIA juga bakal digunakan buat pertama kalinya tahun ini sebagai kompleks untuk pelepasan jemaah haji,” katanya.

MHCC KLIA menempatkan sebanyak 333 bilik, 617 tempat letak kereta selain menempatkan empat kafeteria yang menjual makanan dan minuman.

Menurutnya, walaupun belum beroperasi, pihaknya mendapat tempahan untuk ruang yang disediakan di lokasi berkenaan.

“Setakat ini, 80 peratus tempahan diterima daripada orang awam serta beberapa pihak menunjukkan minat untuk penganjuran majlis berskala besar di sini,” katanya.

Seperti juga di TH Hotel yang lain, kolam renang di MHCC KLIA diasingkan antara kolam renang lelaki dan wanita, pusat sukan dan riadah seperti gimnasium dan gelanggang tenis.

Tempat permainan kanak-kanak turut disediakan berhampiran kawasan kolam renang wanita.

Pusat konvensyen seluas 178,381 kaki persegi di MHCC KLIA turut memuatkan dewan bankuet (dengan keluasan 25,000 kaki persegi) yang bebas tiang dan berkapasiti memuatkan sehingga 2,500 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 3:02 AM