Fairuz Zaidan


PENGUMUMAN rasmi pemilihan kepemimpinan jawatan tertinggi UMNO bagi sesi 2018-2021 dijangka diumumkan seawal 1 pagi esok, kata Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, keputusan pemilihan bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan Ketua UMNO Bahagian bagi pemilihan kali ini turut menggunakan kaedah baharu.

"Kaedah baharu yang digunakan bagi mengumpulkan keputusan pada pemilihan kali ini diyakini lebih cepat dan tepat.

"Mesyuarat Perwakilan UMNO di semua 191 bahagian di seluruh negara pula dijangka tamat pada 5 petang ini," katanya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah Tahun 2018, di Kampung Pulau, Melaka, hari ini.

Pada pemilihan UMNO Bahagian Masjid Tanah, Ab Rauf menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian.

Turut menang tanpa bertanding, Pengerusi Tetap, Md Jaya Kadir dan Timbalan Pengerusi Tetap, Amir Hussin Yaakob.

Selain itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Wira Ismail Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Datuk Latipah Omar dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Dayang Senandung Mo'min.

Bagi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan bekas Ketua Pemuda Bahagian, Hamid Bashir dan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, Ramli Abu Samah.

Mengulas mengenai dua calon yang dipecat selepas menawarkan diri bertanding jawatan Ketua dan Naib Ketua UMNO Bagan, Ab Rauf berkata, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua mereka didakwa bersekongkol dengan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

"Oleh itu, diputuskan secara automatik mana-mana ahli parti yang didapati bersekongkol, menyokong atau menjadi pencadang kepada calon atau parti (pembangkang) akan dipecat dengan serta-merta," katanya.

Dua calon berkenaan adalah Naib Ketua Pemuda UMNO Bagan, Mohamad Affendi Azni dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bagan, Shahbani Mat Diasa.

Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau, Masjid Tanah. NSTP/ IHSAN UMNO

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 6:02 PM
KETUA UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau, Masjid Tanah. FOTO Ihsan UMNO
KETUA UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau, Masjid Tanah. FOTO Ihsan UMNO