AB Rauf menunjukkan nama-nama calon yang bertanding ketika sidang media penamaan calon Pemilihan UMNO. FOTO Aswadi Aslias
AB Rauf menunjukkan nama-nama calon yang bertanding ketika sidang media penamaan calon Pemilihan UMNO. FOTO Aswadi Aslias
Manirajan Ramsamy; Nazura Ngah; Veena Babulal dan Ahmad Suhael Adnan


BUAT pertama kali, UMNO menerima tujuh pencalonan untuk jawatan presiden pada pemilihan parti itu akhir bulan ini.

Bagi jawatan timbalan presiden, tiga calon menawarkan diri, manakala sembilan calon untuk jawatan naib presiden.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh, berkata, pemilihan kali ini mencipta sejarah berikutan dasar UMNO yang membuat pemilihan parti secara terbuka.

Beliau berkata, sehingga penghantaran borang pencalonan ditutup pada 5 petang, UMNO menerima pencalonan daripada 612 orang untuk semua jawatan daripada jawatankuasa sayap hingga ke Majlis Tertingggi (MT).

Katanya, senarai calon akan disaring dalam pelbagai kaedah pada sudut kelayakan dan akan disemak di Jabatan Insolvensi sebelum senarai calon yang layak dan cabutan nombor undi calon di semua peringkat diumumkan esok pada 5 petang oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Difahamkan, selain pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bertanding jawatan presiden, empat lagi calon dikatakan gagal memenuhi kelayakan termasuk menjadi Ahli MT selama sepenggal.

Bagi jawatan timbalan presiden, selain bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa, jawatan itu turut bakal ditandingi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 6:28 PM