Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia menerima siapapun pemimpin yang dipilih perwakilan dalam pemilihan parti itu yang berakhir 18 Mac.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting adalah semua pihak dalam Umno perlu melupakan segala sengketa selepas pemilihan di semua peringkat selesai kelak.

Katanya, mereka juga perlu sedia berada dalam satu pasukan, bukan sahaja bagi menangkis musuh dari luar, malah untuk menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Untuk pemilihan sayap, ia hampir selesai manakala, pemilihan Ketua Bahagian, kepimpinan bahagian, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Naib Presiden di peringkat nasional pada 18 Mac ini.

"Kita akan saksikan sama ada barisan baharu dipilih atau barisan lama dikekalkan. Oleh itu, saya akan terima siapa sahaja yang dipilih oleh perwakilan untuk bersama-sama kepimpinan.

"Saya harapkan semua (yang menang) berazam dan bekerja keras untuk kukuhkan Umno. Kita perlu berada dalam satu pasukan dan saf," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengenalan calon Naib Presiden dan MKT Umno Peringkat Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pemilihan Umno dijadualkan berakhir 18 Mac dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa Bahagian bersama pemilihan Ahli MKT.

Pemilihan sayap parti merangkumi Pemuda, Wanita dan Puteri berlangsung semalam dengan 266 calon bersaing merebut 15 jawatan dipertandingkan.

Ditanya mengenai pemilihan sayap termasuk isyarat diberikan perwakilan dalam pemilihan setakat ini, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, beliau melihat sikap kenegerian berjaya diketepikan sama sekali.

"Kita juga dapati bukan kerana faktor umur sahaja tetapi golongan yang muda profesional tetap dipilih untuk jadi pelapis kepada kepimpinan parti.

"Ketiganya, biar apa pun yang dikata penganalisis politik, kita dapati apabila jawatan di peringkat bahagian dan nasional dipertandingkan, lebih ramai yang menawar diri berbanding pemilihan 2018.

"Ia memperlihatkan demokrasi dalam Umno tetap disuburkan dengan ramai tawar diri bertanding," katanya.

Mengenai kekalahan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam pemilihan Ketua Wanita yang dikatakan gambaran muka lama bakal berdepan nasib sama pada pemilihan Ahli MKT dan Naib Presiden Sabtu ini, Ahmad Zahid menidakkan hakikat itu bakal berlaku.

"Saya tidak dapat jangkakan begitu kerana pemilihan yang dibuat semalam adalah memilih kepimpinan sayap, namun di peringkat nasional mungkin polanya berbeza.

"Apa yang kita harapkan, siapa pun yang menjadi pemimpin pelapis ia boleh membugarkan semula Umno untuk menghadapi cabaran mendatang.

"Yang penting, kita dapat kerja dalam satu pasukan," katanya.

Mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno yang baharu, Dr Muhamad Akmal Salleh mengenai had umur maksimum jawatan tertinggi sayap Pemuda ditetapkan kepada 40 tahun, Ahmad Zahid berkata, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO sebelum ini, saya pun memberikan pandangan begitu. Tetapi akhirnya perbincangan mesti diadakan dengan pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan dan dibawa ke MKT sebelum mendapat kelulusan Perhimpunan Agung Umno.

"Apa pun, UMNO sangat terbuka dengan apa juga cadangan yang positif untuk parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 6:26 PM
AHMAD Zahid ketika berucap pada Majlis Pengenalan calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
AHMAD Zahid ketika berucap pada Majlis Pengenalan calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan.