Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


Masjid Tanah: Umno Bahagian Masjid Tanah, hari ini membuat ketetapan tidak mengizinkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Umno akan meletakkan calonnya mewakili Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi Umno dan BN yang ketika itu diwakili Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, tetapi kemudian keluar Umno dan menyertai Bersatu.

"Umno tidak ada masalah jika Bersatu ingin bertanding di kerusi dimenangi mereka seperti Parlimen Alor Gajah, dipersilakan...tetapi kita tidak benarkan kerusi Masjid Tanah yang kita menang untuk diberikan kepada Bersatu," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Umno Bahagian Masjid Tanah menggesa supaya PRU-15 segera diadakan bagi membolehkan Umno dan Pas yang bekerjasama erat melalui Muafakat Nasional (MN) serta parti lain dalam BN bersama-sama untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, Umno menggesa kerjasama antara Umno dan Pas diperkukuh untuk menghadapi PRU-15, tetapi meminta kerjasama Umno dalam Perikatan Nasional (PN) dikaji semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 2:35 PM