TUN Mohd Ali (kanan) menyampaikan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 kepada  Ab Rauf. FOTO Bernama
TUN Mohd Ali (kanan) menyampaikan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka Ke-13 kepada Ab Rauf. FOTO Bernama
Amir Mamat


Ayer Keroh: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 petang ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), jam 3.33 petang.

Upacara menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka, Taat Setia dan Sumpah Simpan Rahsia turut dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis sambil disaksikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari.

Dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan itu, menamatkan teka-teki pengganti Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka selepas ADUN Lendu itu melepaskan jawatan yang disandang sejak tiga tahun lalu itu.

Ab Rauf, 62 yang juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kerja Umno pada 2009-2019 selain Naib Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang (2009-2013), Penolong Setiausaha Pemuda UMNO (2003-2004) dan EXCO Pemuda UMNO (1999-2004).

Beliau yang mendirikan rumah tangga bersama Datin Seri Zuriyah Abdul Aziz dan dikurniakan enam anak, menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021, seterusnya dilantik sebagai EXCO Kanan di bawah pentadbiran Sulaiman.

Nama Ab Rauf, anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah itu beberapa kali menjadi sebutan untuk menggantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri, namun tidak berlaku.

Bagaimanapun, angin perubahan pucuk kepemimpinan negeri bertiup kencang kembali pada Rabu lalu apabila Sulaiman disahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Keadaan itu membolehkan nama Ab Rauf kembali hangat apabila beliau satu-satunya individu yang dicalonkan Umno sebagai Ketua Menteri Melaka menggantikan Sulaiman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 5:58 PM