TENGKU Abdullah mendengar taklimat pembalakan hutan di Merapoh, semalam.
TENGKU Abdullah mendengar taklimat pembalakan hutan di Merapoh, semalam.
Nazirul Roselan

Kuala Lipis: Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan supaya kawasan hutan di Merapoh yang diluluskan untuk pembangunan kawasan pertanian diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Tengku Abdullah bertitah, langkah itu perlu memandangkan ia berada di kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi yang mampu menarik kunjungan pelancong.

“Saya mahu kawasan ini dibaiki semula...kawasan hutan belum diteroka ditukarkan status kepada hutan simpan kekal supaya tidak diteroka pada masa depan,” titahnya selepas menerima taklimat dalam lawatan ke kawasan pembalakan di Hutan Merapoh dekat sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengarah Perhutanan Negeri Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian negeri Pahang(PKPP) Datuk Wan Bakri Wan Ismail.

Hutan Merapoh yang meliputi kawasan seluas 687 hektar yang diberi hak milik kepada PKPP sejak 1992 mula dibangunkan untuk pembangunan kelapa sawit dengan proses pembalakan bermula Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, ia dihentikan pada 15 November 2017 kerana gagal menyediakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar mengikut Perintah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 7:52 AM