KAWASAN hutan dibuka untuk aktiviti pembalakan sekitar Merapoh jejaskan sektor eko pelancongan di kawasan itu.
KAWASAN hutan dibuka untuk aktiviti pembalakan sekitar Merapoh jejaskan sektor eko pelancongan di kawasan itu.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Lipis: Aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan yang berlaku di hutan sekitar Merapoh, di sini, bukan saja mengganggu ekosistem, tetapi turut memusnahkan habitat hidupan liar di kawasan berkenaan.

Malah, ada kelibat binatang buas menghampiri kediaman penduduk termasuk memusnahkan tanaman serta ladang mereka.

Penduduk, Muhammad Yunus Syukriyadi, 25, berkata, dia dimaklumkan masyarakat Orang Asli, mereka pernah terserempak haiwan buas termasuk harimau ketika mencari hasil hutan.

“Ada penduduk mendakwa mendengar ngauman dan melihat kelibat pak belang di belakang rumah dan ia menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

“Sebelum ini, kami biasa terserempak babi hutan atau ular namun sejak aktiviti pembalakan dilakukan di kawasan ini banyak haiwan berbahaya keluar dari habitat mereka,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, keadaan itu mungkin disebabkan habitat haiwan terbabit diganggu atau sumber makanan tiada akibat aktiviti berkenaan hingga memaksa ia keluar dan menghampiri kediaman penduduk.

Menurutnya, beberapa penduduk ada mengadu tanaman diusahakan mereka dimusnahkan beruang.

Pengusaha agensi pelancongan, Rosmiati Laila Roslan, 29, berkata, dia bimbang jika masalah berkenaan tiada penyelesaian, Merapoh akan ‘sunyi’ daripada kehadiran pelancong.

Katanya, keindahan alam dan kekayaan flora dan fauna sinonim dengan Merapoh dan kebanyakan pelancong datang ke kawasan berkenaan untuk menikmati keindahan itu.

“Selepas isu ini viral (tular) di laman sosial, kami ada menerima panggilan daripada pelancong bertanyakan perkara itu, menunjukkan orang luar juga sayang dengan apa yang ada di Merapoh.

“Sehingga kini, kami belum terkesan dengan apa yang berlaku, namun bimbang jika dibiarkan tanpa ada penyelesaian, pelancong tidak mahu ke sini lagi,” katanya.

Katanya, apa yang membimbangkan keadaan itu turut memberi kesan kepada kesihatan pelancong yang mengikuti aktiviti lasak seperti meneroka gua kerana sebelum ini ada pelancong jatuh sakit selepas melakukan aktiviti itu.

Katanya, selain itu seperti yang sedia maklum 2017 adalah Tahun Melawat Pahang dan Tourism Malaysia bersungguh-sungguh mempromosikan kawasan berkenaan dan ia seolah-olah tidak ‘kena’ apabila pelancong dihidangkan dengan pemandangan kerosakan hutan yang mencacatkan keindahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 8:48 AM