Mohd Hizamri Mohd Yasin
Mohd Hizamri Mohd Yasin
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menafikan kejadian kepala air yang menyebabkan banjir lumpur di Jalan Lama Gombak-Bentong, bulan lalu disebabkan pencerobohan Hutan Simpan (HS) Bukit Tinggi, Bentong sebaliknya berikutan kejadian hujan lebat selama tiga jam.

Faktor berkenaan juga turut menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh terutama apabila struktur tanah kawasan bukit menjadi longgar.

Pengarah JPNP Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, bencana itu sebenarnya berpunca daripada hujan lebat berlaku secara berterusan dalam tempuh yang panjang.

Menurutnya, rekod taburan hujan sebanyak 67.5 milimeter (mm) dalam tempoh itu dikategorikan sangat lebat dan boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat.

"Hasil siasatan di lapangan mendapati memang terdapat aktiviti pencerobohan bagi tujuan pertanian di kawasan itu, namun keluasannya hanya sekitar dua hektar dan bukan 3,900 hektar sebagaimana yang didakwa.

"Keluasan 3,900 hektar itu adalah kawasan HS Bukit Tinggi berhampiran Genting Sempah dan bukan keseluruhan kawasan diceroboh bagi tujuan pertanian halia," katanya.

Mohd Hizamri berkata, hasil tinjauan di lapangan juga mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan tanpa kebenaran dikesan di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tanah runtuh di sepanjang larian air akibat hujan yang terlalu lebat," katanya.

Tambahnya lagi, kawasan yang diceroboh untuk aktiviti tanaman halia Bentong dan sayuran di kawasan HS Bukit Tinggi sudah diambil tindakan melalui operasi bersepadu Unit Penguat kuasa JPNP Zon Pahang Barat bersama Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong, polis, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong (PDTB) dan Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP), Isnin lalu.

"Kebun haram itu berjaya dikesan selepas kakitangan PHD Bentong membuat pemeriksaan laluan air ekoran kejadian kepala air, banjir lumpur dan tanah runtuh di Jalan Lama Gombak-Bentong.

"Kawasan yang diteroka untuk aktiviti pertanian itu berada di lereng bukit berbatu tanpa jalan dan diusahakan tanpa menggunakan jentera bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Pekebun dipercayai menggunakan laluan tikus untuk membawa keluar hasil," katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan selama tiga hari itu membabitkan kerja memusnahkan tanaman dan penanaman semula pokok hutan di kawasan kebun haram terbabit.

Menurutnya, sebanyak 1,000 pokok balak spesies merawan ditanam.

Katanya, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 terhadap pihak yang bertindak menceroboh kawasan hutan simpan di negeri ini.

"Kami akan meningkatkan pemantauan di kawasan HS Bukit Tinggi bagi mengelak kegiatan pencerobohan untuk aktiviti pertanian terus berlaku.

"Kemudahan pemantauan hutan oleh Remote Sensing (FMRS) dan dron turut digunakan bagi memantau kawasan hutan dan bukit yang sukar dimasuki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 3:28 PM