Pakma Tikus antara  yang terdapat di dalam hutan sekitar Merapoh  yang kian terancam.
Pakma Tikus antara yang terdapat di dalam hutan sekitar Merapoh yang kian terancam.
 Kawasan hutan dibuka untuk aktiviti pembalakan dibimbangi bakal menjejaskan sektor ekopelancongan.
Kawasan hutan dibuka untuk aktiviti pembalakan dibimbangi bakal menjejaskan sektor ekopelancongan.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Lipis: Mereka yang biasa melalui Jalan Merapoh-Gua Musang pasti tidak akan terlepas pemandangan keindahan semula jadi hutan dan deretan gua batu kapur yang indah ‘mengiringi’ perjalanan mereka.

Hutan dan gua dianggarkan berusia ratusan juta tahun itu menjadi aset bagi kawasan Merapoh kerana ia memiliki khazanah alam semula jadi yang tidak ternilai harganya.

Justeru, tidak hairan Merapoh sering menjadi pilihan mereka yang mahu menikmati keindahan alam mahupun yang gemarkan aktiviti lasak.

Namakan apa saja. Merapoh seolah-olah lengkap dengan semua diimpikan mereka, baik dari hutan, gua, air terjun, sungai sehingga ke gunung yang menjadi kebanggaan Pahang iaitu Gunung Tahan.

Namun, keindahan dimiliki kawasan yang bersempadan dengan Kelantan itu dikhuatiri akan lenyap apabila aktiviti pembalakan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak bulan lalu.

Difahamkan, aktiviti pembersihan hutan dan pengeluaran kayu balak di kawasan seluas 668.8 hektar itu dilakukan bagi membolehkan kegiatan perladangan dilakukan.

Keadaan itu menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat apabila pokok ditebang tanpa mengira saiz sehingga mencacatkan keindahan landskap hutan berkenaan.

Penulis yang berpeluang menyusuri laluan lori balak itu mendapati kedudukan kawasan berkenaan begitu hampir dengan Sungai Merapoh yang menjadi sumber air kepada penduduk di situ.

Air sungai yang dulunya jernih, menjadi keruh malah persekitaran sungai yang dulunya tenang kini berubah menjadi ‘serabut’ dengan pokok yang ditebang tumbang dan merintangi sungai.

Dapat dilihat raut terkilan dan sedih pada wajah pemandu pelancong, Mohd Hafizi Zulkapli, 26, yang membawa penulis masuk ke dalam hutan dan meninjau kesan kerosakan di kawasan berkenaan.

“Awal bulan lalu saya ada membawa pelancong masuk untuk ke Gua Hari Malaysia. Ketika dalam perjalanan pulang secara tiba-tiba beberapa batang pokok tumbang kira-kira 10 meter di depan kami.

“Mungkin ia kesan aktiviti pembalakan yang berlaku, mujur tiada kemalangan jiwa namun saya terkilan dengan apa yang berlaku, hutan ini semakin terancam,” katanya.

Dia yang berpengalaman selama dua tahun sebagai pemandu pelancong berkata, kebanyakan pengunjung datang ke Merapoh mahu meneroka keindahan serta keunikan hutan dan gua yang jarang dilihat di bandar.

“Ada pelancong yang biasa datang ke sini terkejut apabila melihat kesan kerosakan yang berlaku di hutan Merapoh ini dan masing-masing menyatakan kebimbangan jika keindahan dimiliki akan musnah jika tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Selain itu, kami juga bimbang tempias kemusnahan itu terkena pada Gua Hari Malaysia yang terkenal sebagai gua kedua tercantik di Malaysia memandangkan lokasinya begitu hampir,” katanya.

Jelas kedengaran bunyi jentera menebang balak ketika kami meninjau laluan lori balak yang berhampiran Sungai Merapoh.

Kami kemudian menyusuri sungai berkenaan dan menemui spesies bunga Pakma Tikus atau nama saintifiknya Rhizanthes loweii (Beccari) Harms iaitu keluarga rafflesia terkecil di dunia yang sudah mati.

“Sebab itu kami mahu mempertahankan kawasan ini, ia bukan saja menjadi syurga hidupan liar, tetapi turut menjadi habitat bunga ini.

“Jika habitatnya dimusnahkan kami khuatir bunga ini akan pupus.

“Setahu saya, ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sebelum aktiviti pembalakan dijalankan antaranya ia perlu jauh daripada sumber air, namun apa diperhatikan kawasan pembalakan ini begitu hampir dengan sungai sehingga menjejaskan kualiti airnya,” katanya.

Justeru, Mohd Hafizi merayu kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani masalah itu sebelum Merapoh kehilangan segala khazanah yang menjadi kebanggaan selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 7:34 AM