DR Mohd Hizamri  (kanan) memeriksa  balak yang diterbang.
DR Mohd Hizamri (kanan) memeriksa balak yang diterbang.
Mohd Rafi Mamat


Bentong: Upah tiga penebang balak profesional warga Indonesia untuk menggondolkan hutan kawasan Hutan Simpan Kelau, di sini.

Itu antara kegiatan sindiket curi balak yang dikesan menjalankan kegiatan menebang 800 pokok pelbagai jenis bernilai RM360,000 sejak seminggu lalu.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar hasil pemeriksaan Unit Penguatkuasaan Pejabat Hutan Daerah Bentong di kawasan hutan itu, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pemeriksaan menemui tiga longgok balak jenis meranti, keruing, kempas dan cengal seberat 200 hingga 300 tan.

Beliau berkata, turut dirampas tiga jengkaut, sebuah jentolak, lori mengangkut balak dan jentera mengangkat balak yang digunakan untuk melakukan kegiatan haram itu dipercayai sejak seminggu lalu.

Katanya, serbuan susulan daripada Ops Ganyang yang diketuai Pegawai Pejabat Hutan Daerah Bentong, Shairani Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan (Zon Pahang Timur), Zahariah Zainal Abidin.

Menurutnya, tiga penebang balak warga Indonesia berumur 40 hingga 50 tahun ditahan.

“Sindiket pembalakan haram ini cuba menjadikan projek pembinaan jalan raya Central Spine Road antara Bentong ke Merapoh, Lipis yang dalam pembinaan sebagai pelindung kepada kegiatan haram mereka yang dipercayai aktif sejak seminggu lalu.

“Kawasan Hutan Simpan Kelau terletak berhampiran projek jalan raya terbabit memudahkan sindiket membawa masuk jentera untuk digunakan bagi kegiatan haram mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Hizamri berkata, kerjasama kakitangan syarikat pemaju projek jalan raya itu yang bertugas di kawasan Mempaga, di sini membantu pihaknya membongkar kegiatan pembalakan haram berkenaan.

Beliau berkata, anggota Unit Penguatkuasaan Zon Pahang Timur dan Barat kini sedang melakukan siasatan dan tinjauan di kawasan Hutan Simpan Kelau bagi mengumpul maklumat dan melihat kesan kegiatan penebangan.

“Kami sentiasa memandang serius kegiatan penebangan balak secara haram di negeri ini bagi memastikan kesan kerosakan alam sekitar tidak terus berlaku selain menyebabkan kerugian hasil cukai kepada kerajaan.

“Individu yang terbukti melakukan kesalahan menebang dan memindahkan balak tanpa lesen akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984,” katanya.

Mohd Hizamri juga memberitahu, individu yang terbukti bersalah perlu segera diheret ke muka pengadilan bagi memberi pengajaran kepada mereka dan pihak lain yang terbabit kegiatan serupa.

Sementara itu beliau berkata, Unit Penguatkuasaan JPNP sedang mengumpul maklumat dan bukti bagi menahan pihak yang bertanggungjawab melakukan pembalakan haram pada Ops Ganyang di kawasan Hutan Simpan Chini dan Chini Tambahan, Bera, Sabtu lalu yang membabitkan kerugian RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 8:55 AM