MD Sohaimi menunjukkan sampel air Sungai Hulu Daguk yang keruh. FOTO Farizul Hafiz Awang
MD Sohaimi menunjukkan sampel air Sungai Hulu Daguk yang keruh. FOTO Farizul Hafiz Awang
Amin Ridzuan Ishak

Kuantan: Kejernihan air Sungai Hulu Daguk di Hutan Simpan Remen Chereh, dekat Sungai Lembing yang menjadi antara tarikan utama pelancong ke kawasan itu kini terjejas kerana aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan.

Sungai itu dikesan mulai keruh oleh pemandu pelancong dan penunjuk arah, Mohammad Shahrizal Dollah, 30, ketika membawa sekumpulan pendaki ke Gunung Tapis pada 16 Februari lalu.

Menurutnya, dia terkejut melihat perubahan di tapak perkhemahan di kawasan berkenaan.

Katanya, ia berbeza berbanding kali terakhir dia ke kawasan berkenaan pada Oktober tahun lalu kerana keadaan sungainya masih jernih yang dipenuhi ikan tengas manakala kawasan hutannya belum lagi diteroka dengan kegiatan pembalakan.

“Bagaimanapun, ketika ke kawasan itu pada 16 Februari lalu keadaan berubah sama sekali apabila air sungai menjadi keruh dan tiada lagi ikan tengas yang menjadi tarikan utama pelancong manakala sebahagian daripada hutan ditebang.

“Pendaki yang mengikut saya juga kecewa kerana gambaran diberi sebelum ini berbeza berbanding apa yang mereka lihat... mereka mahu melihat keindahan alam sekitar tetapi apabila sampai ke sini ada kesan pembalakan,” katanya ketika ditemui dalam lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah ke Sungai Hulu Daguk di sini, semalam.

KEADAAN Sungai Hulu Daguk yang keruh berikutan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Remen Chereh, Sungai Lembing. FOTO Farizul Hafiz Awang
KEADAAN Sungai Hulu Daguk yang keruh berikutan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Remen Chereh, Sungai Lembing. FOTO Farizul Hafiz Awang

Md Sohaimi mengadakan lawatan itu selepas keadaan terkini di Sungai Hulu Daguk kira-kira 25 kilometer dari pekan Sungai Lembing tular di media sosial, baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai menerima nasib sama seperti di Merapoh, Lipis.

Mohammad Sharizal turut bimbang jika penerokaan hutan diteruskan, ia akan menjejaskan sektor pelancongan di Sungai Lembing yang menjadi antara punca pendapatan utama penduduk tempatan sepertinya.

“Kalau boleh jangan ada penerokaan hutan di sini supaya tidak mengganggu keindahan alam sekitar ke Gunung Tapis. Mereka juga harus ingat bahawa ia juga kawasan tadahan air untuk Kuantan, bayangkan kesan sekiranya tiada lagi tadahan air.

“Bukan saja di Gunung Tapis, malah produk pelancongan utama Sungai Lembing seperti Air Terjun Pelangi dan Lubuk Tengas juga terjejas kerana ia saling berkaitan antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Md Sohami meminta kerajaan negeri dapat menghentikan sementara kegiatan pembalakan supaya kajian dapat dilaksanakan untuk melihat kesan penerokaan hutan bagi tujuan pertanian itu.

KEADAAN Sungai Hulu Daguk yang  belum keruh. Foto diambil sebelum  aktiviti pembalakan bermula. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN Sungai Hulu Daguk yang belum keruh. Foto diambil sebelum aktiviti pembalakan bermula. FOTO Ihsan pembaca

“Kalau didapati menjejaskan alam sekitar, khazanah alam dan produk pelancongan maka hentikannya. Pada masa sama buat penanaman semula pokok di 3,237 hektar hutan yang sudah ditebang untuk memulihkan semula kawasan itu bagi jangka masa panjang.

“Saya difahamkan, kebenaran bagi penerokaan hutan itu diberikan kepada syarikat berkepentingan kerajaan negeri sejak 2011 bagi penanaman getah, namun sehingga kini masih belum ada sebarang aktiviti penanaman dilakukan,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan mengazetkan Air Terjun Pelangi, Bukit Panorama dan kawasan sekitarnya sebagai hutan simpan kekal dan menjadi kawasan tadahan air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 6:01 AM