Hadzlihady Hassan


PENYAMUN tak cerdik. Itu ungkapan sesuai buat seorang lelaki apabila dia menghubungi telefon bimbit rakan mangsa yang disamunnya kerana ‘angau’ selepas melihat wajah wanita terbabit.

Perbuatannya itu ternyata mengundang padah apabila dia bersama tujuh lagi lelaki yang dikenali sebagai Geng Jun Rentap berjaya ditahan polis.

Suspek yang berusia 22 tahun itu pada mulanya berjaya dijejaki dan ditahan polis jam 4 pagi Isnin lalu di tepi Jalan Permatang Damar Laut, Batu Maung, di sini.

Difahamkan, suspek sebelum itu meragut telefon bimbit milik seorang wanita Indonesia namun dia tergoda dengan kecantikan rakan mangsa yang dilihat dalam WhatsApp.

Suspek kemudian menghubungi rakan mangsa namun dia akhirnya terjerat selepas berjaya dijejaki polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, susulan daripada penahanan lelaki berkenaan polis berjaya menjejaki tujuh lagi suspek yang aktif melakukan kegiatan samun dan ragut.

Menurutnya, siasatan mendapati ahli Geng Jun Rentap terbabit menyamun dengan menggunakan pisau pemotong kertas dan bergerak secara berkumpulan atau solo.

"Mereka didapati memilih mangsa iaitu wanita yang bekerja kilang yang keluar rumah ketika awal pagi.

"Wang hasil samun kemudian digunakan untuk membeli serta menghisap dadah dan kumpulan ini didapati aktif sejak pertengahan tahun lalu," katanya.

Menurutnya, empat daripada suspek adalah bawah umur dan dengan penahanan mereka polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes samun serta ragut sekitar Bayan Lepas dan Batu Maung.

"Pemeriksaan mendapati semua suspek positif dadah dan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 7:18 PM