Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Suami isteri antara lima individu dalam Geng Adi Bee yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan ragut di sekitar Lembah Klang pada 17 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya melakukan Operasi Rentap dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang yang membawa kepada penahanan lima individu berkenaan berusia antara 24 hingga 35 tahun.

"Kami merampas tiga telefon bimbit, dua cermin mata, lima jam tangan, beberapa barang kemas, sebuah motosikal Yamaha 135LC dan wang tunai sebanyak RM10,111 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM15,000.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada suspek yang meragut dan orang tengah yang menjual barang hasil ragut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Beh berkata, modus operandi kumpulan ini adalah melakukan kegiatan meragut di kawasan perumahan dan perindustrian di sekitar Lembah Klang sejak 2019.

"Kumpulan ini yang bergerak secara berkumpulan meragut menggunakan motosikal akan mensasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

"Barang hasil kegiatan ragut itu akan dijual oleh suspek wanita kepada seorang lelaki yang bertindak sebagai ejen untuk menjual kepada individu lain di luar Lembah Klang.

"Hasil jualan barangan itu akan dibahagikan dalam kalangan ahli kumpulan terbabit," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan kes dadah.

"Dengan tangkapan ini, kami berjaya menyelesaikan 11 kes ragut di kawasan Kepong dan beberapa kes lain di sekitar Lembah Klang.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ragut.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah di daerah ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Bilik Gerakan IPD Sentul (03-40482206) atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

BEH (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
BEH (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 4:38 PM