Dompet dan wang yang dirampas daripada geng pantai. FOTO Nabihah Kamal
Dompet dan wang yang dirampas daripada geng pantai. FOTO Nabihah Kamal
Zainol (kanan) menunjukkan matawang asing yang dirampas daripada Geng Pantai. FOTO Nabihah Kamal
Zainol (kanan) menunjukkan matawang asing yang dirampas daripada Geng Pantai. FOTO Nabihah Kamal
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Mesej dalam telefon bimbit meminta rakan mengambil motosikal yang ditinggal beberapa jam selepas gagal meragut, berjaya membongkar jenayah ragut dan samun oleh sekumpulan lelaki Geng Pantai sebelum empat daripada enam ahli geng berkenaan ditahan, di sini, 9 Februari lalu.

Sebelum itu, pada 6.30 petang, dua ahli kumpulan itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC meragut wanita warga Korea berusia 28 tahun di Jalan Raja Chulan berhampiran KLCC.

Mangsa menarik beg tangannya sehingga dia dan peragut berkenaan terjatuh sebelum dibantu orang awam yang melihat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, mangsa cedera di tangan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur manakala dua peragut itu melarikan diri dan meninggalkan motosikal yang ditunggang.

"Susulan kejadian itu, polis menjalankan rondaan di Jalan Bukit Bintang pada hari sama sebelum menahan dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit seorang daripada lelaki berkenaan mendapati terdapat mesej meminta mereka mengambil motosikal yang ditinggalkan oleh dua suspek ragut di Jalan Raja Chulan berhampiran KLCC.

"Polis menahan dua lelaki berkenaan kerana bersubahat dan hasil soal siasat berjaya menahan dua lagi suspek utama yang meragut beg tangan wanita warga Korea itu," katanya.

Katanya, empat suspek yang ditahan berusia 19 tahun itu direman sehingga hari ini dan polis masih memburu dua lagi ahli Geng Pantai yang aktif melakukan jenayah ragut di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Zainol, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan yang boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun atau sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 5:22 PM