GOLONGAN childfree ketika tua pasti akan kesunyian dan menanti ajal sahaja. Sudah pasti golongan ini tidak akan ada keturunan.
GOLONGAN childfree ketika tua pasti akan kesunyian dan menanti ajal sahaja. Sudah pasti golongan ini tidak akan ada keturunan.
Oleh Prof Madya Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin

Jika ada satu gelombang yang boleh menggambarkan perubahan gaya hidup mereka yang digelar sebagai Millennials dan Gen Z kini, maka salah satunya ialah trend tidak mahu memiliki anak atau dalam istilah yang popular childfree. Namun, perlu dibezakan keinginan tidak mahu memiliki anak (termasuk mengambil anak angkat) dengan tidak ada upaya untuk melahirkan dan mendapatkan anak (childless). Sebagai gaya hidup, childfree adalah satu pilihan yang sengaja dibuat.

Sebuah laman komuniti di Reddit dinamakan sebagai Childfree yang mengumpulkan kelompok yang tidak mahukan anak. "Do not ever want children" itu deskripsi di web bagi menerangkan tujuan komuniti yang dianggotai 1.5 juta ahli ini diwujudkan. Di dalamnya terhimpun luahan penyokong childfree daripada alasan tidak mahu beranak untuk mengurangkan populasi dunia sehinggalah rasa syukur kerana dapat tidur nyenyak tanpa gangguan tangisan bayi.

Di media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube, kehidupan 'tanpa anak' ini juga makin mendapat perhatian generasi muda. Seorang pengguna dengan nama Marcela menggunakan gelaran 'gadis dengan gaya hidup tanpa anak' (Childfree lifestyle girly). Beliau memuatkan hampir 300 video di YouTube, di antaranya berkenaan keperitan hidup menjadi ibu, keseronokan hidup berseorangan dan tidak memiliki anak pilihan terbaik.

Namun, gaya hidup tanpa anak bukan baharu, tetapi hanya tular dan popular kembali kini.

Menurut Rachel Chrastil dalam bukunya How to Be Childless: A History and Philosophy of Life Without Children, gaya hidup tanpa anak telah meletus di barat seawal 1970-an. Faktor utama ialah pengeluaran The Pill iaitu istilah yang diberikan untuk pil pencegah kehamilan. Dengan adanya pil ini, wanita termasuk yang belum berkahwin tidak lagi bimbang melakukan hubungan intim secara bebas. Seiring dengan itu, gelombang self-actualization atau kesedaran pencapaian diri turut berkembang di barat. Ia berkait kesedaran seseorang yang mampu merealisasikan kehendak dan kebolehannya secara individu tanpa perlu tertakluk kepada kawalan agama atau kehendak masyarakat.

Abraham Maslow meletakkan kesedaran ini di puncak tertinggi piramid keperluan manusia. Idea ini lebih awal dikembangkan oleh Jean-Jacques Rousseau yang melihat perasaan dan keinginan adalah sebahagian identiti manusia. Bagi Rousseau, keaslian jati diri kita akan menjadi lebih autentik apabila kita mampu meluahkan perasaan terpendam.

Dalam perkaitan childfree ini, kemampuan seseorang untuk tidak mahukan anak dan menjadikannya sebagai gaya hidup adalah satu pencapaian jati diri sebenar. Selain itu, faktor ekonomi juga digunakan sebagai alasan mengapa gaya hidup ini menjadi pilihan. Biaya tinggi untuk membesarkan anak dilihat satu kekangan pada masa kini dan ia boleh dielakkan dengan memilih childfree.

Bagaimana perspektif Islam dalam menanggapi isu fenomena tanpa anak? Dalam Islam, persoalan berkaitan anak dibincangkan selepas persoalan perkahwinan. Tujuan perkahwinan selain memenuhi fitrah manusia untuk hidup berpasangan serta untuk menyalurkan kehendak seksual melalui jalan yang sah, ia juga bertujuan untuk mendapatkan anak dan mengembangkan keturunan.

Galakan berkahwin ini disebut Allah dalam surah al-Nur ayat 32 yang bermaksud: "Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan…"

Manakala, dalam surah al-Rum ayat 21, Allah berfirman: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."

Hasil perkahwinan itu pula antaranya adalah untuk mendapatkan zuriat yang baik seperti termaktub dalam surah al-Nahl ayat 72 yang bermaksud: "Allah menjadikan bagimu pasangan (suami atau isteri) daripada jenis kamu sendiri, menjadikan bagimu daripada pasangamu anak-anak dan cucu-cucu serta menganugerahi kamu rezeki yang baik-baik."

Dalam ayat di atas, Allah tidak sekadar menyebut 'anak-anak', tetapi juga 'cucu-cucu.' Ini bermaksud zuriat perlu dikembangkan. Maksud rezeki dalam ayat ini pula bukan sekadar wang, tetapi anak yang baik, kebahagiaan yang dirasai ketika berkeluarga, ketenangan hidup, kesihatan yang baik dan lain-lain. Seterusnya dalam surah al-Isra' ayat 37 Allah menempelak kalangan manusia yang sanggup membunuh anak kerana takutkan kefakiran: "Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah (Allah) yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu." Namun, janganlah pula menafikan usaha dan ikhtiar kerana itu juga elemen penting dalam bertawakal kepada-Nya.

Beberapa ayat di atas membentuk pola pandangan dan set minda setiap Muslim bahawa perkahwinan adalah ibadah, memperoleh anak dan cucu pula adalah kurniaan rezeki Allah dan sifat tawakal serta bergantung kepada Allah adalah cerminan keimanan.

Islam adalah gaya hidup yang tercermin daripada keimanan dan kehidupan berkeluarga pula adalah gaya hidup yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Menjalin hubungan baik suami isteri berdasarkan kerjasama dan saling memahami, membangun keluarga harmoni adalah gaya hidup Islam yang harus diikuti.

Penulis Profesor Madya di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:01 AM