Zatul Iffah Zolkiply


“SEBARANG hiburan yang boleh menimbulkan fitnah dan mempunyai unsur yang haram dinasihatkan agar dihentikan segera," kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kewujudan 'dangdut terlara' di Kampung Telari, Manir di Kuala Terengganu.

Menurut Wan Ismail Sahaimi, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi kelab dangdut di Kampung Telari yang dilaporkan media semalam.

Beliau berkata, hasil pemantauan dijalankan bahagian penguatkuasaan syariah sebelum ini mendapati bahawa apa yang disiarkan hanya berbentuk hiburan nyanyian lagu-lagu dangdut.

"Ia dianjurkan individu yang tinggal di kawasan itu dan siasatan mendapati ia adalah tanah milik persendirian.

"Kita akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia untuk melakukan pemantauan bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil.

"JHEAT berpandangan bagi mana-mana pihak yang mahu mengadakan apa-apa aktiviti hiburan perlu mendapatkan lesen daripada PBT dan kita tidak teragak-agak mengambil tindakan jika mengesan unsur maksiat.

"Bagaimanapun, jika hiburan itu boleh menimbulkan banyak fitnah dan mempunyai unsur-unsur yang haram adalah lebih baik ia dihentikan," katanya.

Sebelum ini, tarian mengghairahkan penghibur wanita yang berpakaian sendat dan seksi menjadi tarikan 'dangdut terlara' di Kampung Telari, Manir, di Kuala Terengganu atau kini digelar sebagai Kampung Terlara.

Dipercayai sudah wujud sejak lima tahun lalu itu, premis berkenaan menjadi tarikan pelanggan yang majoritinya warga emas berusia antara 60 hingga 70 tahun.

Berita berkaitan

Kelab dangdut Kampung Terlara [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 3:45 PM