RAZAK (dua kiri) dijatuhi didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana merosakkan 12 keping cermin tingkap nako rumah ibunya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
RAZAK (dua kiri) dijatuhi didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana merosakkan 12 keping cermin tingkap nako rumah ibunya. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG lelaki dijatuhi hukuman denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana merosakkan 12 keping cermin tingkap nako rumah ibunya.

Tertuduh, Razak Abdullah, 34, turut berdepan hukuman penjara satu bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Nordiana Abd Aziz selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap cermin tingkap nako rumah Ngah Junus, 65, di Kampung Telari, Manir, jam 8.30 malam pada 25 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebelum itu meminta duit daripada kakaknya namun tidak diendahkan wanita terbabit.

Tindakan itu menyebabkan tertuduh mengamuk lalu menyepahkan barang yang ada di dalam rumah.

Tertuduh turut memecahkan 12 keping cermin tingkap nako membabitkan kerugian RM50 dan beredar meninggalkan rumah selepas mendapat RM10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:18 PM