Zatul Iffah Zolkiply


TARIAN mengghairahkan penghibur wanita yang berpakaian sendat dan seksi menjadi tarikan 'kelab dangdut' di Kampung Telari, Manir, di Kuala Terengganu atau kini digelar sebagai Kampung Terlara.

Dipercayai sudah wujud sejak lima tahun lalu itu, premis berkenaan menjadi tarikan pelanggan yang majoritinya warga emas berusia antara 60 hingga 70 tahun.

Malah, pelanggan tanpa segan silu asyik menari dan menyanyi di pekarangan kelab dangdut disulami unsur lucah sekali gus mengganggu ketenteraman penduduk di kampung berhampiran.

Tidak cukup dengan itu, pelanggan bagaikan ulat bulu naik daun apabila menari bersama penyanyi wanita yang dibawa dari Kelantan di atas pentas dan turut memberi tips.

Lebih memalukan, kewujudan kelab itu seakan-akan tidak menghormati jemaah masjid yang mengadakan aktiviti keagamaan berikutan jaraknya hanya 200 meter dari masjid.

Difahamkan, penduduk pernah memberikan teguran kepada pemilik premis terbabit namun tidak diendahkan.

Tinjauan mendapati kelab dangdut itu menjadi tumpuan pelanggan bermula 9 malam dan aktiviti di kawasan berkenaan berlarutan hingga ke awal pagi.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Zaki, 41, berkata, kawasan itu pada mulanya dijadikan tempat penganjuran aktiviti dikir barat sejak 20 tahun lalu namun mula berubah wajah menjadi 'kelab dangdut'.

"Kelab dangdut itu aktif antara tiga hingga empat kali seminggu dengan empat hingga lima penyanyi yang dibawa dari Kelantan.

"Sudahlah kebanyakan pengunjung yang datang terdiri daripada warga emas, mereka juga tidak menghormati jemaah yang mengadakan program keagamaan di masjid berkenaan.

"Mana tidaknya, apabila mereka membuat persembahan lebih 100 hingga 200 pengunjung akan datang dengan pengunjung bukan hanya dari kampung ini tetapi pelanggan dari daerah lain," katanya.

Jemaah masjid yang dikenali sebagai Hafizi, 32, berkata, aktiviti itu memberi pengaruh yang tidak baik kepada golongan muda termasuk kanak-kanak.

"Keadaan ini menimbulkan rasa tidak tenteram penduduk pada waktu malam. Warga emas yang sepatutnya menasihati golongan remaja pula terbabit sama dalam aktiviti yang tidak berfaedah ini.

"Selain itu, saya juga bimbang dengan pengaruh yang akan diberikan kepada kanak-kanak yang masih bersekolah. Mana tidaknya ada juga ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke tempat yang tidak bermoral ini dan balik pada lewat malam.

"Aktiviti itu bukan hanya memberi kesan tidak baik kepada penduduk tetapi nama kampung ini turut terpalit apabila dikenali sebagai 'Kampung Terlara' kerana aktiviti tidak bermoral itu.

"Saya harap pihak berkuasa bertindak dan tidak hanya memandang aktiviti ini sebelah mata kerana ia memberi kesan buruk kepada generasi baharu di kampung ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 9:27 PM
AKTIVITI  berdangdut di Kampung Telari, Manir mengundang rasa tidak selesa penduduk di kampung berkenaan. FOTO Tular Youtube
AKTIVITI berdangdut di Kampung Telari, Manir mengundang rasa tidak selesa penduduk di kampung berkenaan. FOTO Tular Youtube