Syarah Sikh Ismail, 22, adik kepada Syed Mohd. Azmi, 39, yang mayatnya ditemukan terapung di permukaan tali air di Kampung Tetambah, Manir. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Syarah Sikh Ismail, 22, adik kepada Syed Mohd. Azmi, 39, yang mayatnya ditemukan terapung di permukaan tali air di Kampung Tetambah, Manir. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: "Arwah memang kaki pancing dan biasa tidak pulang ke rumah, sebab itu kami tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah kami dikejutkan dengan penemuan mayat abang," kata Syarah Sikh Ismail, 22.

Syarah adalah adik kepada Syed Mohd Azmi, 39, yang mayatnya ditemukan terapung di sebuah tali air di Kampung Tetambah, Manir di sini, semalam.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa Syed Mohd Azmi pada Sabtu lalu ketika abangnya hendak keluar dari rumah.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan abangnya yang masih bujang itu pulang lewat dengan membawa hasil tangkapan setiap kali keluar memancing.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada petang Sabtu lalu ketika dia keluar rumah tetapi penduduk lain mendakwa ada terserempak di kawasan kampung kelmarin.

"Sejak itu, abang memang tidak dapat dikesan dan tidak pulang, kami ada juga tertunggu-tunggu namun tidak pernah menyangka kejadian ini berlaku, " katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Syarah berkata, abangnya yang menghidap penyakit paru-paru berair baharu selesai menerima rawatan.

"Walaupun dia sendiri tidak sihat, abang tetap menjaga ayah yang sakit tua di rumah dan akan keluar memancing sekiranya giliran adik-beradik lain menjaga ayah.

"Abang juga sebenarnya baharu sahaja keluar hospital pada Rabu lalu dan kejadian ini mengejutkan kami sekeluarga terutama bapa yang memang rapat dengan abang," katanya yang juga anak sulung daripada tujuh beradik.

Terdahulu, mayat seorang lelaki ditemukan terapung di sebuah tali air di Kampung Tetambah, Manir di sini semalam.

Kejadian itu disedari sekumpulan remaja yang melalui kawasan berkenaan sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki yang dipercayai berusia 30-an bersama sebuah motosikal kira-kira jam 4.45 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, mayat dibawa naik dengan bantuan pasukan penyelamat di air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu jam 6.50 petang.

Katanya, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan buat masa ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 2:38 PM