LAPORAN Harian Metro mengenai insiden kanak-kanak lemas.
LAPORAN Harian Metro mengenai insiden kanak-kanak lemas.
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: "Sejak hari kejadian, Muhammad Shakir Wafiudin Sobre, 8, asyik menangis dan mencari adiknya, Muhammad Sufi Eijas Sobrey, 3.

"Bagaimanapun, pada hari kelima, Muhammad Shakir ada bermimpi yang adiknya datang dan memegang tangannya. Selepas itu dia tidak lagi bertanya," kata Nurul Ain Bakri, 33, ibu kepada Muhammad Sufi Eijas yang meninggal akibat mati lemas.

Nurul Ain berkata, suaminya, Mohd Sobrey Ramli, 33, juga ada bermimpi melihat kelibat arwah anaknya itu di satu kawasan yang lapang.

Menurutnya, dia setakat ini tidak dibayangi mainan mimpi, namun mengakui merindui dan terbayang celoteh anak keduanya itu.

"Hari ini sudah masuk 11 hari arwah (Muhammad Sufi Einas) meninggalkan kami sekeluarga, saya tidak putus-putus dikunjungi orang.

"Saya bersyukur sokongan yang diberikan membantu saya bertambah kuat dan reda dengan apa yang berlaku," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Telari, Manir, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu yang berada di Terengganu bagi melawat mangsa banjir mengambil kesempatan mengunjungi keluarga itu dengan menyalurkan sumbangan.

Aiman Athirah menasihati ibu bapa supaya elakkan membawa anak-anak ke kawasan berisiko lebih-lebih lagi pada musim banjir ini.

"Kita akan melihat apa bentuk keperluan yang akan disalurkan kepada keluarga ini dan akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Pada 12 Disember lalu, mangsa, Muhammad Sufi Eijas lemas selepas terjatuh dari jambatan tali air di Kampung Kebor Besar, di sini.

Mayatnya ditemui 500 meter dari lokasi yang dilaporkan terjatuh pada keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:28 PM