PEKERJA pasar raya mengambil troli yang dibuang di longkang.
PEKERJA pasar raya mengambil troli yang dibuang di longkang.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Tindakan segelintir pelanggan sebuah pasar raya di Peringgit, di sini, meninggalkan troli di tempat tidak sepatutnya, selain membuang kemudahan itu ke dalam longkang dianggap sebagai perbuatan biadab.

Hasil tinjauan Harian Metro mendapati lebih 10 troli dibiar dan dibuang ke dalam parit berhampiran Taman Rumpun Bahagia, iaitu di seberang Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), bertentangan dengan pasar raya terbabit.

Difahamkan, pihak pasar raya terbabit yang sedar dengan masalah itu menggunakan lori untuk mengangkut semula troli berkenaan yang disorong pelanggan tidak bertanggungjawab keluar dari lokasi sudah ditetapkan, namun ia masih berulang.

Mengulas mengenai perkara itu, Setiausaha MBMB Sh Mohd Nasir Sheikh Salim berkata, tindakan sedemikian bukan setakat menyusahkan pengguna lain, malah secara tidak langsung menunjukkan mentaliti kelas kedua individu berkenaan.

“Saya tidak sangka masih ada orang bersikap seperti itu, sanggup membuang troli ke dalam longkang. Malah sebelum ini basikal kuning disediakan sebuah syarikat turut menerima nasib sama apabila dibuang ke dalam longkang.

“Kami akan hantar anggota penguat kuasa ke lokasi terbabit untuk melakukan pemantauan, troli dibuang ke dalam longkang ini boleh menghalang aliran air dan menyebabkan banjir kilat,” katanya.

Sh Mohd Nasir berkata, MBMB mempunyai peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak dikesan meninggalkan troli di kawasan tidak sepatutnya sama seperti kesalahan membuang sampah.

Beliau, memberitahu jika dikesan dan tertangkap ketika melakukan perbuatan itu, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM250.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 4:21 AM