Mohd Hilmie Hussin


DALAM masa tidak sampai tiga minggu, tong sampah besar disediakan bagi memudahkan penduduk sekitar Kampung Tengah, Tanjung Minyak, Melaka, membuang sampah, dibakar pihak tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, tindakan membakar tong sampah disediakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) itu dilakukan dua individu pencari barangan lusuh, yang berebut hak barangan terpakai dibuang penduduk.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah, Amer Md Nor berkata, pihaknya sudah mengenalpasti individu yang membakar tong sampah terbabit.

“Ini bukan perbuatan sekumpulan orang, tapi individu dan hanya dua individu pencari barangan lusuh, sering bergaduh sekiranya salah seorang daripada mereka terlebih dahulu mendapat barangan yang ada nilai.

“Pernah sebelum ini, seorang daripada mereka sedang mengumpul barangan terpakai, seorang lagi pencari melalui kawasan ini, tidak berpuas hati lalu bertengkar, mereka masing-masing mendakwa lokasi tong sampah ini kawasan mereka,” katanya ditemui di lokasi tong sampah itu, hari ini.

Beliau berkata, lokasi tong sampah setempat diletakkan di tepi Sungai Ayer Salak, terbabit dipindahkan ke situ kurang tiga minggu lalu, namun sudah lima kali dibakar.

Menurutnya, kejadian terbaharu berlaku sehari sebelum hari raya hingga memaksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke lokasi untuk memadamnya.

Katanya, sebelum ini, tong sampah terbabit ditempatkan di bahu jalan di Kampung Tengah, namun mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya sehingga pernah berlaku kemalangan.

“Akibatnya, pihak SWM mengambil semua tong terbabit, menyebabkan penduduk kampung serta masyarakat berhampiran, membuang sampah mereka di atas tanah.

“Penduduk penduduk kampung ada membuat laporan polis mengenai perbuatan khianat itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Gue Teck berkata, sebelum wujudnya tong sampah setempat itu, masyarakat sekitar membuang sampah di bahu jalan dan sepanjang Jalan Tanjung Minyak itu, dapat dilihat kelompok-kelompok plastik sampah.

“Bagaimanapun, selepas tong sampah setempat disediakan, tiada lagi masyarakat membuang sampah setompok-setompok di bahu jalan, namun kita amat kesali apabila ada pihak membakar tong ini sehingga menyusahkan penduduk lain.

“Kita alihkan tong sampah dari bahu jalan ke tepi sungai, bertujuan memastikan penduduk kampung tidak terkesan bau dari tong sampah, tapi benda lain pula berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 11:34 PM
GUE (kiri) bersama Amer melihat kesan terbakar selepas tong sampah dibakar di Jalan Kampung Tengah, Tanjung Minyak, Bukit Rambai, Melaka. FOTO Rasul Azli Samad.
GUE (kiri) bersama Amer melihat kesan terbakar selepas tong sampah dibakar di Jalan Kampung Tengah, Tanjung Minyak, Bukit Rambai, Melaka. FOTO Rasul Azli Samad.