Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Gombak: Seorang penduduk Kampung Selayang Lama melahirkan rasa kesal kerana tidak melihat al-Quran yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni, di sini.

Penduduk, Muhammad Nor Huda Kasrin, 41, mendakwa, berkemungkinan kejadian membuang al-Quran itu berlaku pada 8 pagi lima hari lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan rakan lain sedang memancing berdekatan tempat itu.

"Saya tengah memancing waktu itu, kemudian terdengar orang buang barang. Tapi saya tak pergi tengok dan tak tahu barang apa," katanya.

Pagi ini, tular di laman sosial video individu mengutip beberapa naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni.

Individu yang merakam menunjukkan anak lelakinya berada di dalam longkang untuk mengutip al-Quran yang dibuang.

Muhammad Nor menambah, al-Quran dan video yang tular itu diambil pada Sabtu.

"Semalam orang yang memancing di situ baru perasan dan jumpa al-Quran dekat dalam longkang," ujarnya.

Seorang lagi penduduk yang juga petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pula terkejut dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Ujarnya, kitab suci al-Quran tidak sepatutnya dibuang di dalam longkang dan turut menggesa agar pihak berkuasa menyiasat kejadian berkenaan.

"Individu yang membuang al-Quran ini patut dikenakan tindakan berat," tegasnya.

Berita berkaitan:

Kes buang al-Quran dalam longkang tanggungjawab JAWI

Tergamak buang al-Quran dalam longkang

PENDUDUK Azmi Abdul Aziz, 60, menunjukkan lokasi pembuangan naskah al-Quran ke dalam parit. FOTO Hairul Anuar Rahim
PENDUDUK Azmi Abdul Aziz, 60, menunjukkan lokasi pembuangan naskah al-Quran ke dalam parit. FOTO Hairul Anuar Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 3:12 PM